Pastikan kelancaran Majlis Sambutan Awal Tahun 1443 Hijrah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Bagi memastikan kelancaran Majlis Sambutan Awal Tahun 1443 Hijrah yang bakal diraikan oleh umat Islam di negara ini pada 1 Muharam 1443 Hijrah bersamaan 9 Ogos 2021 Masihi, raptai penuh bagi majlis sambutan peringkat negara telah diadakan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong, hari ini.

Hadir bagi menyaksikan raptai tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari-hari Kebesaran Islam Tahun 1443H; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar dan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Yang Dimuliakan Pehin Orang Kaya Paduka Setia Raja Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Suhaili bin Haji Mohiddin.

Majlis sambutan yang akan bermula 5 petang pada hari itu nanti akan diadakan serentak di masjid-masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara dengan penumpuan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah dan masjid-masjid utama iaitu Masjid Rancangan Perpindahan Negara Kampung Pandan, Kuala Belait; Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong dan Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar, Temburong.

Antara pengisian majlis itu nanti ialah bacaan Doa Akhir Tahun Hijrah, Doa Awal Tahun Hijrah dan Tazkirah Hijrah.

Tema Majlis Sambutan Awal Tahun 1443 Hijrah Peringkat Negara ialah ‘Belia Berilmu dan Beramal Salih Pemangkin Negara Berkat’.

Sehubungan itu, para pegawai dan kakitangan kerajaan, orang ramai dan para jemaah diharapkan dan dialu-alukan untuk bersama-sama hadir ke majlis itu nanti, dan dinasihatkan agar mematuhi garis panduan yang berkaitan dalam langkah-langkah membendung penularan wabak COVID-19, protokol-protokol keselamatan serta prosedur operasi standard (SOP).

Di samping acara kemuncak itu nanti, pelbagai acara sampingan sempena Majlis Sambutan Awal Tahun 1443 Hijrah juga akan diadakan antaranya ialah Majlis Pemberian Hadiah kepada Anak-anak Damit yang Lahir pada 1 Muharam 1443 Hijrah.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Berhormat Ketua Hakim Syar’ie meninjau raptai yang dijalankan di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, kelmarin.