Pastikan kelancaran pembukaan Festival Kikik

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Bagi memastikan atur cara Majlis Pembukaan Rasmi Festival Layang-layang (Kikik) Antarabangsa Kali Pertama Negara Brunei Darussalam 2019 yang akan berlangsung pada 17 Mac ini, raptai majlis berkenaan telah diadakan di Taman Mahkota Jubli Emas, di ibu negara, hari ini.

Hadir bagi menyaksikan raptai berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Festival yang julung kalinya diadakan di Brunei itu dikelolakan oleh Persatuan Kikik Negara Brunei Darussalam (PEKIKIK) yang dipengerusikan oleh Yang Di-Pertua PEKIKIK, Haji Maidin bin Haji Ahmad bersempena dengan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-35 tahun 2019.

Sebanyak 34 buah negara antarabangsa turut mengambil bahagian bagi menyertai festival berkenaan.

Pada festival berkenaan, gerai jual-jualan makanan dan sebagainya turut diadakan selain pameran layang-layang yang dapat dikunjungi oleh orang ramai pada hari kemuncak festival berkenaan.

Yang Berhormat Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan semasa berkunjung ke tapak Majlis Pembukaan Rasmi Festival Layang-layang.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar semasa menyaksikan raptai tersebut.
Antara pengunjung yang menyaksikan raptai tersebut.