Pastikan kenderaan dalam keadaan baik, selamat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JUN – Kejadian kenderaan terbakar yang telah berlaku dalam beberapa minggu kebelakangan ini adalah sangat membimbangkan dan kekerapan berlakunya kebakaran kenderaan itu, perlu diatasi demi mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini.

Oleh itu, orang ramai harus meningkatkan kewaspadaan mereka mengenai kenderaan masing-masing terutama untuk memastikan bahawa kenderaan mereka sentiasa dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan.

Peringatan itu dibuat oleh Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Haji Rozaly bin Haji Saidon semasa sidang media bersama JPD, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) mengenai kejadian kenderaan terbakar yang diadakan di Ibu Pejabat JPD, Beribi, hari ini.

Beliau menerangkan bahawa sistem mekanikal, elektrik dan penggerak yang terdapat dalam satu-satu kenderaan di samping berfungsi utama untuk menggerakkan kenderaan, adalah juga terdedah dengan bahaya kebakaran jika tidak dijaga dan diselenggarakan dengan baik atau diubahsuai dengan tidak mengikut spesifikasi dan prosedur yang betul.

Manakala itu, kerosakan kepada sistem mekanikal dan elektrik seperti kebocoran bahan bakar dan cecair yang mudah terbakar dalam satu-satu kenderaan dengan kepanasan enjin yang berlebihan boleh menjadi punca kebakaran daripada ruangan enjin kenderaan.

Haji Rozaly (tengah) ketika menyampaikan saranannya semasa sidang media bersama dengan JPD, JBP dan PPBD mengenai kejadian kenderaan terbakar yang berlangsung di Ibu Pejabat JPD, Beribi,

“Sering didapati ialah kes-kes kebakaran kenderaan yang berpunca litar pintas dan penggunaan arus elektrik yang berlebihan disebabkan pengubahsuaian sistem pendawaian di luar spesifikasi dan pendawaian asal atau keadaan sistem yang sudah rosak dan reput terutama bagi kenderaan yang sudah lama.”

Beliau menasihatkan orang ramai untuk meningkatkan kewaspadaan mengenai kenderaan mereka iaitu tidak membuat sebarang pengubahsuaian kenderaan sama ada dari segi reka bentuk dan sistem dalamannya daripada yang asal, tidak mengubahsuai sistem pendawaian elektronik atau enjin kenderaan dengan tidak teratur atau mendapatkan perkhidmatan mekanik yang khusus dan berkelayakan, mengadakan pemeliharaan kenderaan terutama sekali pemeliharaan enjin dan sistem dalaman kenderaan mengikut jadual dan tatacara, mendapatkan khidmat pemeliharaan dan pemeriksaan kenderaan oleh bengkel-bengkel yang diiktiraf oleh JPD.

Selain itu, tidak membiarkan enjin kenderaan hidup terlalu lama lebih-lebih lagi di bawah panas matahari, berhati-hati dan berwaspada mengenai penggunaan alat ganti kenderaan serta tidak meninggalkan benda atau barang seperti power bank, telefon bimbit atau barang yang mudah terbakar atau meletup seperti botol, minyak atau gas dan seumpamanya dalam kenderaan terdedah kepada panas matahari.

Manakala itu, khusus bagi pemilik bengkel kenderaan, pihak JPD mengingatkan supaya sentiasa memberikan khidmat pemeliharaan dan penyelenggaraan kenderaan dengan teratur dan mengutamakan tahap keselamatan.

Beliau menyarankan pemilik bengkel kenderaan untuk memastikan pekerja-pekerja seperti mekanik adalah yang bertauliah dan cekap dalam kerja-kerja mereka, mengikut piawaian dan prosedur yang baik dan teratur, mengambil berat mengenai keselamatan dan kesejahteraan orang ramai melalui khidmat pemeliharaan dan penyelenggaraan kenderaan yang bermutu tinggi dan teratur serta tidak menggunakan alat-alat ganti yang berkualiti rendah atau tidak sesuai dengan model kenderaan.

Haji Rozaly menekankan bahawa JPD dan agensi-agensi penguatkuasaan seperti JBP dan PPDB akan terus memantau kes-kes kejadian kebakaran di negara ini.

“Usaha-usaha akan dibuat untuk melakukan pemeriksaan-pemeriksaan rambang ke syarikat-syarikat yang berkenaan dan premis-premis bengkel dengan kerjasama agensi-agensi berkenaan bertujuan untuk memastikan peraturan dan piawaian dipatuhi.”

Beliau menambah, pihak JPD dan agensi-agensi penguatkuasaan peraturan dan undang-undang tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak individu atau bengkel yang menyalahi peraturan dan undang-undang yang berjalan dari semasa ke semasa.