“HARI ini duduk rumah seorang, hendak letak di laman Instagram lah..”
Inilah antara kelakuan orang zaman sekarang. Pergi ke mana, makan apa sehinggalah ketika ahli keluarga tiada di rumah pun hendak dikemaskinikan dalam media sosial. Untuk pengetahuan anda, perlakuan ini amatlah berbahaya kerana dapat mengundang insiden yang tidak diingini. Ini adalah lima perkara yang anda jangan kongsi jika mahu keluarga anda selamat!
1. Beritahu atau menyatakan suami ‘outstation’
Pencuri dan perompak paling takut dengan kehadiran sosok lelaki di dalam rumah kerana mereka tahu kebanyakan lelaki akan melawan dan mempertahankan diri dan keluarganya. Mereka paling seronok kalau mereka tahu tiada ada lelaki langsung dalam rumah yang akan mereka pecah masuk.
2. Beritahu atau menyatakan lokasi rumah
Kalau mahu tunjuk lokasi ‘check-in’ di media sosial pun, jangan sesekali check-in di lokasi yang berdekatan dengan rumah. Lagi spesifik lokasi rumah kita dedahkan, lagi bahaya untuk keluarga kita.


3. Tayang nombor plet kereta
Bukan cuma maklumat seberapa banyak saman sahaja boleh dikorek daripada nombor plet ni. Alamat rumah, nombor kad pengenalan, telefon dan nama penuh semuanya boleh digali hanya dengan menayangkan nombor plet kenderaan kita. Buka sahaja laman sesawang tertentu ataupun e-melkan pada syarikat insurans kereta tersebut, semuanya boleh digali dan dicari!
4. Tayang nombor kad pengenalan dan pasport
Kadang-kadang kita sangat teruja untuk tayang keputusan peperiksaan sampai lupa hendak tutup nombor kad pengenalan anak kita. Kadang-kadang juga kita termuat naik gambar percutian kita dan keluarga sampai ‘tergambar’ sekali gambar pasport, padahal nombor itu semua adalah data peribadi yang wajib kita lindungi.
5.Beritahu keterlambatan kita menjemput anak
Kadang-kadang kita selalu buat posting “Aduh…terlambat lagi ambil anak aku dekat sekolah.” Benda ini sendiri sudah diperingatkan oleh pihak berkenaan kerana risiko untuk orang luar pantau dan intip keberadaan kita dan anak kita. Sebarang kelewatan kita, adalah risiko besar bagi anak kita jadi sebaiknya jangan maklumkan kepada orang luar lebih-lebih di media sosial. Ingatkan perkara ini kepada keluarga dan pasangan kita. – Agensi