Pastikan keselamatan pelajar di pedalaman Belait

Oleh Daniel Lim
Gambar serahan Restoran Makanan Laut Brotherhood

BELAIT, 25 JUN – Bagi memastikan ke-selamatan dan kesihatan para pelajar dan guru-guru di kawasan pedalaman Belait, Restoran Makanan Laut Brotherhood telah menjalankan satu siri lawatan untuk menyerahkan pelindung muka kepada sekolah-sekolah terpilih.

Diketuai oleh pengarah urusan restoran tersebut, David Chan, rombongan berkunjung ke Sekolah Chung Hwa di Labi dan Sekolah Chung Lian di Sungai Liang di mana mereka menyampaikan sumbangan pelindung muka bagi para pelajar dan guru tatkala kelas-kelas bermula semula di sekolah-sekolah berkenaan.

Secara keseluruhannya, pelindung-pelindung muka berkenaan diagihkan kepada 22 orang pelajar dan tujuh guru di Sekolah Chung Hwa sementara itu, 80 pelajar menerima sumbangan berkenaan di Sekolah Chung Lian.

Dalam menyerahkan pelindung muka berkenaan, David berharap bahawa ia akan membantu memastikan keselamatan guru-guru dan pelajar selaras dengan nasihat yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan pada waktu sukar ini, terutamanya bagi sekolah-sekolah yang tidak mempunyai akses segera atau langsung kepada peralatan-peralatan dan kemudahan mencukupi kerana kedudukan mereka yang jauh di kawasan Ulu Belait.

Di samping itu, beliau turut menyatakan bahawa restoran berkenaan juga kerap menghulurkan sumbangan bagi memeduli warga emas di Rumah Orang-orang Tua, Seria, yang bertujuan untuk membantu dan memberi balik kepada masyarakat setempat di daerah ini.

Bagi memastikan keselamatan dan kesihatan para pelajar dan guru-guru di kawasan pedalaman Belait semasa pandemik ini sentiasa terjamin, dua buah sekolah kelmarin telah menerima sumbangan pelindung muka bagi kegunaan mereka semasa memulakan pembelajaran.
David Chan menyampaikan sumbangan pelindung muka bagi kegunaan para pelajar dan guru di sekolah.