Thursday, April 18, 2024
34.4 C
Brunei

    -

    Pastikan kesihatan mental satu keutamaan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia, Kementerian Kesihatan akan menganjurkan beberapa aktiviti dan acara untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat tentang kepentingan penjagaan kesihatan mental melalui jerayawara dan bengkel bersama pihak-pihak berkepentingan.

    “Kementerian Kesihatan juga akan melancarkan Pelan Tindakan Kesihatan Mental bagi Negara Brunei Darussalam, yang merupakan langkah penting untuk menekankan komitmen negara ke arah penjagaan kesihatan mental,” ujar Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Da-to Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam perutusan sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2022.

    Tema Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia tahun ini ialah ‘Jadikan Kesihatan Mental dan Kesejahteraan untuk Semua Keutamaan Global’.

    Menurut Yang Berhormat Dato lagi, pelan tindakan itu merupakan tanda komitmen Brunei Darussalam dalam memenuhi saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam Pelan Kesihatan Mental yang terbaharu iaitu WHO Comprehensive Mental Health Action Plan 2013 – 2030 untuk memastikan agenda-agenda berkaitan kesihatan mental diberikan perhatian yang sewajarnya dan dapat dilaksanakan dengan berkesan di seluruh dunia, termasuklah di Negara Brunei Darussalam.

    “Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menggalakkan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk mengutamakan penjagaan kesihatan mental dan kesejah-teraan diri mereka serta ahli keluarga dan rakan-rakan mereka,” seru beliau.

    Yang Berhormat Menteri Kesihatan dalam perutusannya sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia menyeru orang ramai memperuntukkan masa untuk diri sendiri dengan melakukan aktiviti relaksasi atau kerohanian seperti berzikir atau meditasi secara berkala. – Gambar serahan Kementerian Kesihatan

    Yang Berhormat Dato berkata bahawa antara aktiviti yang boleh dilakukan bersama ahli keluarga adalah seperti melakukan aktiviti riadah yang sihat seperti bersenam bersama-sama.

    Di samping itu, mereka juga dinasihatkan untuk berkongsi sebarang kebimbangan, perasaan negatif yang dialami dan kesihatan mental tanpa prasangka buruk atau menghakimi dengan ahli keluarga atau rakan-rakan.

    “Kita juga perlu peruntukan masa untuk diri sendiri dengan melakukan aktiviti relaksasi atau kerohanian seperti berzikir atau melakukan meditasi secara berkala, malah mengurangkan penggunaan media sosial juga boleh membantu kesihatan mental kita.

    “Mempelajari dan menguasai kemahiran baharu juga boleh membantu membina keyakinan dan mengukuhkan kesihatan mental seseorang individu,” ujarnya.

    Beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa Talian Harapan 145 disediakan sebagai talian bantuan krisis kesihatan mental kebangsaan dan juga sebagai sumber untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan mental.

    Menurutnya, pada Ogos 2021 iaitu ketika permulaan gelombang kedua COVID-19 melanda Brunei, Talian Harapan 145 telah menerima sebanyak 1,058 panggilan dalam tempoh dua bulan dan ia adalah kenaikan yang ketara daripada purata jumlah panggilan bulanan yang diterima pada 2020 iaitu sebanyak 445 panggilan.

    Di samping itu, menurut data daripada rekod kesihatan elektronik, Bru-HIMS, bagi 2021, seramai 1,515 individu telah didiagnosis dengan gangguan kegelisahan melampau atau anxiety disorder dan lebih 900 individu mengalami gangguan kemurungan (depressive disorders).

    “Ini menunjukkan bahawa pandemik terbukti terdapat kesan yang meluas terhadap kesihatan mental,” jelasnya lagi.

    Beliau menyatakan di seluruh dunia, COVID telah mengakibatkan peningkatan tahap tekanan mental atau stres dan mewujudkan kadar kebimbangan dan kemurungan yang tinggi dengan dianggarkan satu dalam empat individu mengalami masalah kesihatan mental semasa tahun pertama pandemik berkenaan berlaku.

    “Kita juga menyaksikan bagaimana pembelajaran kanak-kanak dan para remaja terjejas kerana tidak dapat hadir ke sekolah secara bersemuka dan tidak dapat bertemu dengan rakan dan keluarga dari rumah tangga yang berlainan.

    “Ia juga meningkatkan kesan negatif yang dialami oleh vulnerable groups seperti mangsa penderaan dan keganasan rumah tangga yang mana mereka ini semakin terpencil dan susah mendapat akses kepada pertolongan semasa pandemik.”

    Di samping itu, jelas beliau lagi, kewujudan global existential uncertainties seperti ketidakpastian sumber pendapatan bagi kebanyakan orang telah menambah lagi risiko individu menghidap penyakit kesihatan mental seperti stres dan gangguan emosi.

    Selain itu, kepentingan kesihatan mental di tempat kerja juga perlu diberi perhatian, tekan Yang Berhormat Dato, di mana menurut WHO dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), dianggarkan sejumlah 12 bilion hari bekerja lenyap setiap tahun disebabkan kemurungan dan kegelisahan yang dialami berkaitan tempat bekerja menyebabkan kerugian ekonomi dunia sekitar AS$1 trilion.

    “Kesejahteraan kesihatan mental mempunyai kesan kepada prestasi dan produktiviti individu.

    “Keadaan kerja yang tidak selamat atau kurang baik, hubungan kerja yang tidak sihat dan pengangguran boleh menyumbang kepada keburukan kesihatan mental atau memburukkan lagi kesihatan mental sedia ada,” tambah beliau.

    Isu-isu negatif seperti diskriminasi jantina, umur, bangsa dan kelainan upaya boleh menjadi lebih ketara di tempat kerja.

    Oleh itu, intervensi organisasi adalah diperlukan untuk mencegah risiko kesihatan mental di tempat kerja termasuk memberi latihan kepada pengurus untuk mengelakkan persekitaran tempat kerja yang tertekan dan memeduli pekerja-pekerja yang sedang mengalami tekanan.

    Yang Berhormat Dato seterusnya menyatakan, “Kini tiba masanya untuk kita memastikan kesihatan mental dan kesejahteraan diri menjadi salah satu keutamaan global.

    “Ini termasuk menggandakan usaha untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan mental dan mengurangkan stigma mengenai topik berkaitan dengan kesihatan mental,” jelasnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Terumbu Sawar Besar alami pemutihan karang paling teruk

    CANBERRA, 17 APRIL - Sebahagian besar Terumbu Sawar Besar yang ikonik di Australia mengalami pemutihan karang pada musim panas 2023-24, menurut laporan kerajaan. Agensi kerajaan...