Oleh Raz AS –
Memancing memang aktiviti yang menyeronokkan, terutama untuk mengisi masa lapang atau untuk beriadah melapangkan fikiran pada hujung minggu setelah penat lelah bekerja saban hari.
Tidak dinafikan ramai juga yang meluahkan kepada penulis rasa ingin mencuba aktiviti ini, namun berasa ragu-ragu kerana sama sekali tidak tahu apa-apa tentangnya.
Jika sebelum ini penulis pernah menyentuh mengenai asas-asas memancing dalam keluaran-keluaran sebelumnya, seperti pemilihan joran dan reel, umpan, teknik dan sebagainya, kali ini penulis ingin bercakap mengenai benda-benda asas yang perlu ada dalam kotak pancing awda terutama bagi pemancing-pemancing baharu.
Sebenarnya isi kotak pancing setiap seorang pemancing itu adalah mengikut kemahuan, keperluan dan spesies buruan masing-masing.
Namun secara amnya barang perkakas di dalamnya adalah sama, cuma seperti yang dikatakan tadi, cuma berbeza-beza sedikit.
Sebelum turun memancing, perkara utama yang sentiasa dipastikan oleh seorang pemancing itu, selain keadaan joran dan reelnya, adalah kotak pancingnya yang lengkap.
Lengkap di sini bukanlah bermaksud barangnya banyak dan bermacam-macam, umpama kedai bergerak, sehingga menyusahkan diri membawanya walhal separuh daripadanya belum pasti diperlukan. Lengkap yang dimaksudkan di sini adalah barangan pancing yang diperlukan dalam satu-satu trip itu ada dan mencukupi.
Oleh itu, apakah barang-barang asas yang perlu ada dalam kotak pancing awda untuk menjadikannya lengkap?
Pertama, sekotak mata kail atau lebih. Tidak kiralah hendak menggunakan mata kail jenis apa, circle hook atau J hook dan sebagainya, yang penting kotak pancing awda diisi dengan mata kail-mata kail yang bersesuaian dengan buruan awda.
Adalah dinasihatkan juga untuk mendapatkannya dalam dua atau tiga saiz yang berlainan, jadi sekiranya keadaan memerlukan, awda bolehlah upsize atau downsize.
Kedua, segulung atau lebih tali pancing. Memang betul reel awda sudah berisi tali, namun kegunaan tali pancing ini sangat berguna, seperti untuk membuat tali perambut atau kata orang putih, dalam keadaan worst case scenario untuk menyambung tali pancing yang putus di pohon atau menggantikan tali yang kusut teruk.
Ketiga, adalah batu ladung. Batu ladung bukanlah keperluan utama untuk memancing jika dibandingkan dengan tali dan mata kail kerana awda boleh sahaja terus memancing dan menangkap ikan tanpa menggunakannya, walau bagaimanapun tidak semua ikan berada dekat di permukaan.
Batu ladung membolehkan awda melontarkan umpan lebih jauh dan ke tempat yang lebih dalam di mana ikan-ikan berkemungkinan bersembunyi. Sebaik-baiknya bawa beberapa biji batu ladung dalam saiz-saiz yang berlainan untuk disesuaikan dengan keadaan arus.
Batu ladung seperti juga mata kail, kadang-kadang ‘berulam’ menggunakannya mengikut keadaan padang pancing, oleh itu bawa lebih sedikit adalah lebih baik.
Keempat, playar muncung atau long nose pliers. Kegunaan playar muncung ini memang tidak dapat dinafikan sangat diperlukan ketika memancing. Memanglah kalau kan belurus, inda tedapat pun masih dapat memancing, tetapi ia sangat-sangat menyenangkan kerja melepaskan mata kail daripada mulut ikan terutama jika ditelan dalam oleh sang ikan.
Selain itu, ia boleh digunakan untuk mengubah suai batu ladung atau mata kail, terutama untuk mengembalikan ‘aluk’ mata kail yang lurus.
Seterusnya, yang kelima adalah pemotong tali. Sama ada gunting, pisau atau papat kuku, pastikan awda mempunyai peralatan yang dapat digunakan untuk memotong tali pancing dengan cepat dan efisien. Berguna untuk memotong tali pancing yang tersangkut di pohon atau lain-lain, atau digunakan untuk men’trim’ ikatan.
Dan yang terakhir tetapi yang paling penting sekali adalah barang-barang bantuan kecemasan atau first aid kit.
Malang tidak berbau dan tiada siapa yang mahu tercedera, namun sukar untuk dinafikan kecederaan dan aktiviti memancing tidak dapat dipisahkan 100 peratus.
Sama ada cedera akibat terjatuh ketika berjalan atau tercucuk mata kail, duri pokok, ‘iting’ ikan dan lain-lain, mempunyai barang-barang kecemasan ringkas seperti pembalut luka, plaster dan ubat tahan sakit tersedia dalam kotak pancing awda boleh menjadi rahmat terbesar ketika itu.