Pastikan pelatih tempatan berkemahiran

Oleh Sim Y. H. dan Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OGOS – Sejak penubuhan Jawatankuasa Pandu Industri Tenaga Manusia (MISC), Tenaga pada 2019, ia telah menubuhkan kerjasama yang kukuh dengan pihak industri, institusi pendidikan dan latihan serta pengawal-pengawal selia industri untuk membangunkan sebuah ekosistem lengkap bagi perancangan sumber manusia dan pekerjaan yang bersandarkan pada Rangka Kerja Kecekapan Industri bagi Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan iaitu Program i-Skill.

Program i-Skill dan ekosistem sekelilingnya menyediakan tinjauan menyeluruh mengenai latihan dan standard kompetensi, persijilan dan keperluan penilaian di mana ekosistem itu tidak terhad kepada latihan bilik darjah tetapi juga memberikan tumpuan kepada pembangunan dalam industri dengan pendedahan kepada suasana kerja sebenar serta pada masa yang sama, menjaga kebajikan para peserta.

Perkara itu dinyatakan oleh Pengurus ICV, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd, Hajah Rosita binti Hassan selaku pengerusi MISC Energy semasa Hari Penglibatan Pasaran bagi Organisasi Latihan, yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPEC); Pemangku Menteri Tenaga dan ahli Jawatankuasa Kerja MPEC, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw; Timbalan Menteri Pendidikan dan ahli Jawatankuasa Kerja MPEC, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh; Setiausaha Tetap (Industri), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dan Pengerusi MISC, Pengiran Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani, pegawai-pegawai kanan serta jemputan khas.

Hajah Rosita juga menyatakan bahawa kumpulan MISC Energy telah membangunkan sebuah aplikasi pemantauan kompetensi, SkillUP iaitu sebuah platform atas talian yang boleh digunakan oleh pelbagai agensi, industri, pengawal selia dan pekerja untuk mengurus serta menjejak perkembangan kerjaya mereka.

Beliau menyatakan lanjut bahawa organisasi latihan berdaftar adalah amat penting bagi kejayaan program-program berkenaan dan oleh itu, acara tersebut mempamerkan kepada syarikat-syarikat tempatan mengenai maklumat unjuran keperluan tenaga kerja yang terkini di sektor tenaga serta garis pandu dan proses pendaftaran untuk menjadi sebuah Registered Training Organisation (RTO) yang membolehkan mereka menjalankan program-program IBTE khusus bagi sektor tenaga.

Bagi kohort pertama, pihaknya menawarkan lima program kemahiran iaitu iSkill NTEC Level 3 Welding, iSkill ISQ Level 2 Scaffolding, iSkill ISQ Level 2 Riggers, iSkill ISQ Level 2 Blaster Painter, iSkill ISQ Level 2 Marker/Pipe Fitter dan ISQ Level 2 Welding.

Hajah Rosita berkata lagi bahawa mereka akan memperkenalkan lebih banyak program pada 2021 di mana pada masa ini, pihaknya telah memulakan kajian bagi lima kemahiran untuk industri termasuk Mechanical Engineering Tech, Electrical Engineering Tech, Instrumentation Tech dan Plant Operators and Plant Inspector.

Program-program berkenaan telah dibentuk dengan kerjasama di antara pihak industri, pihak IBTE dan pihak pengawal selia melalui MISC Energy, yang bertujuan memastikan pelatih tempatan mempunyai kemahiran yang bersesuaian dan memenuhi kehendak industri.

Antara kertas kerja yang dibentangkan dalam majlis Hari Penglibatan Pasaran bagi Organisasi Latihan yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Jabatan Perdana Menteri, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani