Pastikan penularan tidak kembali naik semasa fasa peralihan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Dalam mempersiapkan diri melangkah ke fasa peralihan, banyak perkara yang ditekankan dan perlu diingati oleh semua pihak dalam memainkan peranan masing-masing untuk mengawal penularan wabak ini.

Peralihan ini tertakluk kepada 70 peratus penduduk lengkap dua dos vaksinasi, jelas Menteri Kesihatan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada sidang media hari ini semasa menjawab kepada soalan sama ada penguatkuasaan garis pandu tegahan akan dikuat kuasakan kembali jika kes meningkat semula.

Yang Berhormat Dato sete-rusnya mengingatkan, walau pun perkumpulan dibenarkan sehingga 200 orang, ia bergantung kepada keluasan tempat dan kawasan yang digunakan.

“Kita mesti kekal menjaga SOP terutama dalam pemakaian pelitup muka dan adat bersalam-salaman adalah tidak dibenarkan. Sekiranya pengawalan seperti ini dibuat, penularan akan dapat dikawal,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa jika penularan ini melonjak naik, adalah penting kita perlu melihat kapasiti hospital terutama sekali di ICU yang berada di tahap 4 dan tahap 5 selain jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital disebabkan oleh perkara ini.

“Bila sudah mencapai satu tahap, mungkin kita perlu memikirkan balik apa langkah yang perlu diambil,” jelas Yang Berhormat Dato.

“Adalah sangat penting untuk semua orang ingat-mengingati semasa fasa peralihan nanti bagi memastikan lonjakan atau penularan wabak ini tidak kembali naik selain yang pentingnya status keadaan sistem penjagaan kesihatan tidak terjejas terutama pengisian dalam tahap 4 dan tahap 5,” tambah beliau.