Pastikan penumpang ke Sabah, Sarawak jalani saringan

PUTRAJAYA, 14 APRIL – Syarikat penerbangan perlu memastikan setiap penumpangnya melalui saringan kesihatan di lapangan terbang sebelum dan selepas menaiki pesawat bagi membendung penularan wabak COVID-19.

“Apa yang penting adalah kena saring penumpang sebelum dan apabila mereka sampai ke destinasi sama ada di Sabah dan Sarawak,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Beliau berkata antara tindakan yang boleh dilaksanakan di lapangan terbang adalah menjalankan saringan kesihatan menggunakan alat pengimbas suhu badan kerana ia mampu mengesan lebih 50 peratus sekiranya seseorang itu mengalami gejala demam.

“Itu satu daripada cara kita nak kurangkan penularan COVID-19. Kalau mereka yang ada demam, tidak digalakkan naik kapal terbang,” tambahnya.

Dr Noor Hisham mengulas laporan Malaysia Airlines Berhad (MAB) yang akan menyambung semula operasi penerbangan ke Sabah dan Sarawak dengan kekerapan sekali seminggu, bermula minggu ini.

Sementara itu, beliau berkata keputusan kerajaan tidak membenarkan bazar Ramadan dibuka tahun ini bagi memastikan tiada perhimpunan orang ramai berlaku ketika membeli makanan dan sebagainya. – Bernama