Pastikan persediaan lancar

Oleh James Kon

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Bagi memastikan persediaan berjalan lancar, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin hari ini turun padang meninjau raptai penuh Regata Brunei Darussalam 2019 yang akan diadakan di Dermaga Diraja, Ahad ini.

Kedua-dua Yang Berhormat Menteri yang juga penasihat bersama Jawatankuasa Penganjur Eksekutif Regata Brunei sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-73, turut memeriksa tempat-tempat dan kemudahan bagi memastikan acara berkenaan berjalan lancar Ahad ini.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijangka berkenan merasmikan acara pada sebelah petang manakala Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri akan berangkat menghadiri sesi pagi.

Acara lumba perahu regata itu nanti akan bermula pada jam 7:30 pagi dengan 12 perlumbaan akan diadakan sepanjang hari.

Sementara itu, tiga pasukan dari Sabah, Lawas dan Labuan turut mengambil bahagian bersama sebuah pasukan dari China dan Indonesia.

Pada hari itu juga, Jabatan Muzium akan menganjurkan Pameran Regata dengan tema ‘Melestarikan Warisan Teknologi Melayu: Memburis Perahu’ di Galeri Seni Dermaga Diraja sebagai penghormatan kepada Hari Keputeraan Baginda Sultan yang ke-73 tahun.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar dan Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan ketika meninjau raptai penuh Regata Brunei Darussalam, kelmarin.