Pastikan rakyat faham program, dasar kerajaan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Jan – Jabatan Penerangan sebagai sebuah organisasi penghubung hendaklah memainkan peranan bagi memastikan rakyat benar-benar memahami dan menyokong apa jua program dan dasar yang disusun kerajaan dapat mencapai kejayaan sepenuhnya.

Oleh itu, adalah menjadi satu kemestian agar Jabatan Penerangan peka dengan perubahan, pembaharuan atau pengemaskinian yang berlaku di negara ini, sama ada dalam sektor kerajaan mahupun sektor swasta.

Peringatan itu dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dalam ucapannya semasa lawatan ke Jabatan Penerangan Lapangan Terbang Lama,Berakas, hari ini.

Beliau berkata lagi bahawa Jabatan Penerangan mesti dilihat kekal relevan dan sangat penting dalam masyarakat kita pada masa ini.

Pada masa yang sama, kerjasama rapat dan berterusan dengan kementerian atau jabatan-jabatan serta agensi-agensi swasta sangat mustahak untuk mengenal pasti maklumat terkini yang dapat disalurkan serta di-sebarkan kepada orang ramai.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti menyampaikan ucapannya semasa lawatan ke Jabatan Penerangan di Lapangan Terbang Lama Berakas, hari ini.

Maklumat itu termasuklah penyebaran berhubung perkhidmatan, usaha, inisiatif, tawaran, projek di kementerian di dalam memberikan pelbagai kemudahan kepada rakyat di negara ini.

Yang Berhormat Dato juga menyatakan selain daripada jalinan kerjasama dengan agensi di sektor kerajaan dan swasta, jalinan dan hubungan mesra dengan rakyat serta penduduk di negara ini seperti Program Sua Muka yang dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan mesti diperbanyakkan untuk mendekati masyarakat awam di negara ini.

“Program seumpama ini hendaklah diungkayahkan dengan melibatkan penghulu dan ketua-ketua kampung agar pandangan dan cadangan daripada penduduk setempat dapat didengari, disampaikan dan diambil tindakan sewajarnya,” kata Yang Berhormat Dato. Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato menekankan supaya pihak pengurusan Jabatan Penerangan mengambil perhatian serius dalam usaha meningkatkan mutu dan kualiti penulisan.

“Dalam hal ini, tidaklah keterlaluan jika saya katakan bahawa hasil penulisan menjadi perkara yang paling penting dan merupakan kunci utama.

“Oleh yang demikian, saya menyarankan agar pihak pengurusan akan sentiasa memantau dan memastikan setiap hasil penulisan benar-benar terjaga, tersusun, mudah difahami, menarik untuk dibaca dan dapat memberikan kepuasan kepada pembaca tanpa mengetepikan etika kewartawanan dan penulisan, adab dan susila sesuai dengan konsep negara, Melayu Islam Beraja,” jelas beliau.

Selain itu, beliau juga menyatakan harapan supaya pihak pengurusan Jabatan Penerangan dapat mempelbagaikan lagi inisiatif dan program perancangan yang menjurus ke arah peningkatan kualiti mutu penulisan.

“Penulis sedia ada perlu dibekalkan dengan ilmu teknik penulisan kreatif dan penulisan berkesan agar berita dan rencana yang dikongsi mempunyai perincian dan penceritaan yang menarik, padat dan tepat.

“Jika teknik penulisan kreatif dan berkesan dapat dikuasai, maka sudah tentu hasil penulisan akan dapat memberikan kesan kepuasan kepada pembaca.”

Yang Berhormat Dato juga menyarankan supaya pihak pengurusan melihat dan memantau sendiri apa jua usaha atau program yang dijalankan bagi memastikan usaha peningkatan serta penambahbaikan khususnya dari sudut penulisan adalah benar-benar berhasil dan efektif.

“Dengan adanya penglibatan dan pemedulian seperti ini sudah setentunya akan dapat menaikkan dan menyuntik semangat pegawai bawahan untuk lebih berusaha dalam menaikkan mutu kerja.

“Penglibatan dan pemedulian seperti ini juga merupakan salah satu cara dalam menjaga kesejahteraan para pegawai bawahan,” ulasnya.