Pasu bentuk tangan unik

Oleh Amri HTZ

Bagi seorang pencinta bunga hias, pemilihan reka bentuk pasu yang digunakan untuk menanam memainkan peranan penting dalam mengetengahkan pelbagai jenis tanaman untuk tatapan umum.

Walaupun terdapat pelbagai bentuk tersedia di pasaran, sesetengahnya lebih memilih merekanya sendiri bagi menjadikannya satu dalam sejuta. Selain keunikan rekaan, kesesuaiannya dengan tema ruangan juga dititikberatkan sekali gus berfungsi sebagai penambah seri kepada ruangan tersebut. Dalam projek kali ini, pasu konkrit berbentuk tangan akan direka sesuai dengan motif untuk memiliki pasu dengan reka bentuk berlainan.

Barangan diperlukan

Bagi mereka pasu berbentuk tangan ini, beberapa barangan yang diperlukan ialah sarung tangan pembedahan, bedak, sebiji mangkuk bersaiz besar dan kecil, tumbuhan pilihan, tanah (topsoil) kikir besi atau mesin grinder, cat sembur lutsinar atau pelbagai warna, simen, bekas untuk mencampur simen, kayu pengacau, dua cawan plastik (dijadikan bekas simen kering dan air) dan gelas kaca (sebagai pemegang sarung tangan).

Langkah pembuatan

Bagi langkah lama pembuatan, bekas simen yang telah disediakan perlu dibersihkan terlebih dahulu agar bebas daripada bahan-bahan yang boleh menjejaskan rekaan ketika simen mengering nanti. selain itu pastikan bekas tersebut juga bebas daripada bahan berunsur minyak atau wax yang boleh menyebabkan sebahagian campuran simen tidak bercampur dan melekat di antara satu sama lain setelah mengering. Selain bekas, kayu yang digunakan untuk mengacaunya juga perlu dibersihkan.

Bekas yang telah dibersihkan kemudiannya akan diisikan dengan serbuk simen dan air. Nisbah campuran simen dan air di sini tertakluk kepada jenis atau jenama simen yang digunakan. Untuk itu merujuk kepada arahan yang terpapar pada permukaan guni atau kotak simen yang digunakan akan memberikan nisbah campuran terbaik yang diperlukan.

Proses menuangkan campuran simen ke dalam sarung tangan getah dengan bantuan sebiji gelas.

Sarung tangan getah yang telah penuh diisikan dengan simen akan diikat bahagian hujungnya.
Kedudukan yang diperlukan ketika meletakkan sarung tangan berisi simen ke dalam mangkuk.
Proses membuangkan sarung tangan getah bagi mendedahkan simen yang telah mengering.

Antara cara lain untuk mengetahui nisbah campuran air dan simen yang sederhana ialah dengan menuangkan air ke dalam serbuk simen sedikit demi sedikit sehingga ia menjadi pekat, tidak terlalu cair atau keras. Jika ia terlalu cair kerana terlalu banyak kandungan air, ini akan simen tidak akan mengering manakala jika terlalu keras, ia agak sukar untuk menghasilkan permukaan rekaan yang halus dan licin ketika mengering nanti.

Isikan bekas untuk mencampurkan simen dengan tiga cawan plastik serbuk simen. Kemudian campurkannya dengan secawan air bersih, diikuti dengan menuangkan air secara perlahan-lahan dan dikacau sehinggalah simen menjadi pekat.

Untuk memastikan campuran dalam keadaan yang diinginkan, angkat kayu pengacau simen dan perhatikan lelehan simen pada permukaannya. Pada bahagian hujung kayu, tumpukan perhatian kepada titisan simen, di mana simen yang meleleh dan kemudian menitis memerlukan lebih kurang lima saat (menitis).

Setelah dirasakan campuran sesuai dengan yang diperlukan, buka ruangan sarung tangan yang terdedah dengan mengekalkannya menggunakan gelas kaca. Jika ia dilakukan secara berdua, cukuplah salah seorang membantu untuk membukanya adalah seorang lagi mengisikannya dengan campuran simen sehingga penuh. Dua sarung tangan getah dipenuhi simen diperlukan dalam projek ini.

Sarung tangan getah yang telah dipenuhi dengan campuran simen kemudiannya akan diikatkan bahagian rua-ngan yang terdedah. Setelah mengikatkannya, letakkannya pada bahagian dalaman mangkuk berukuran besar. Gunakan mangkuk dengan ukuran yang hampir sama ketika kedua-dua tapak tangan awda dirapatkan.

Tujuan utama penggunaan mangkuk untuk meletakkan kedua-dua sarung tangan berisi simen tersebut adalah berfungsi sebagai acuan bagi mendapatkan bentuk yang diperlukan ketika ia mengering. Pastikan bahagian pertemuan (bentuk jari kelingking), di mana kedua-dua sarung tangan diletakkan, diletakkan dengan rapat dan rata. Ini bagi memastikan kedua-dua permukaan mudah untuk dicantumkan.

Setelah meletakkannya di dalam mangkuk (kedua-dua sarung tangan diletakan dalam posisi sama seperti yang sebenar), letakkan mangkuk yang lebih kecil pada bahagian atas. Juga berfungsi sebagai acuan bentuk, mangkuk bahagian atas ini akan menjadikan permukaan mempunyai ruangan untuk menempatkan media tanaman. Biarkan campuran simen mengering selama 24 jam.

Simen yang telah mengering akan dibuangkan bahagian luarannya (sarung tangan getah) dengan cara mengoyakkannya. Berhati-hati ketika melakukan langkah ini kerana simen pada bahagian dalamnya belum kering sepenuhnya. Pada bahagian pertemuan kedua-dua bentuk tangan yang terhasil ini akan dicantumkan juga menggunakan simen tetapi kali ini campuran simen yang diperlukan adalah lebih pekat daripada sebelumnya dan kedua-dua permukaan perlu dijadikan kasar agar tercantum kukuh.

Kedua-dua bentuk tangan yang telah dicantumkan dan mengering kemudiannya akan direndam ke dalam air lebih kurang sehari. Setelah itu, biarkannya mengering sebelum menyemburkan permukaannya menggunakan cat berwarna lutsinar atau dengan warna yang diminati.

Tujuan utama merendamkannya adalah bagi menjadikannya lebih kukuh dan tidak mudah merekah yang disebabkan proses pengerasan yang tidak sama rata pada bahagian luaran dan dalaman.

Proses melindungi permukaan rekaan menggunakan cat perlu dilakukan sekurang-kurangnya dua lapisan agar ia nampak sama rata (tidak terdapat permukaan yang catnya cerah dan sesetengahnya mengelap kerana ketidaksamaan ketebalan cat).

Setelah cat mengering, isikan ruangan ‘tapak tangan’ dengan media tanaman. Bunga hias yang dirasakan sesuai dengan bentuk dan luas serta kuantiti media tanaman perlu diambil perhatian agar boleh bertahan lama dan bagi penulis, jenis tumbuhan kaktus adalah paling sesuai kerana ia hanya memerlukan ruangan tanaman yang kecil untuk hidup.