Pasu bertingkat khusus herba kulinari

Oleh Amri HTZ

Bagi seseorang yang meminati bidang kulinari, penggunaan herba bukanlah sesuatu yang asing untuk dimasukkan dalam makanan.

Pelbagai jenis herba yang digunakan biasanya tersedia di pasaran dalam keadaan terpetik atau masih tertanam di dalam pasu. Bagi yang mementingkan kesegaran bahan, mereka lebih memilih mendapatkan herba yang terjual dalam keadaan masih tertanam. Untuk memastikan penyimpannya teratur, reka rak pasu bertingkat yang juga bertujuan ditempatkan pada ruangan yang terhad.

Barangan

Sebelum proses pembuatan rak pasu bertingkat yang diperbuat daripada kayu ini boleh dimulakan, penyediaan barangan perlu dilakukan agar projek tidak tergendala. Barangan yang diperlukan adalah seperti kepingan kayu 6”x2”, pasu plastik berukuran standard 60smx22sm, gam kayu, pengepit kayu atau skru, pahat kayu, mesin router, pensel penanda, pita pengukur, round head rotary protractor angle ruler, mesin pemotong kayu atau gergaji, leveler dan varnis.

Langkah

Mulakan dengan langkah memotong kayu yang disediakan dengan ukuran 42” untuk dua batang menggunakan mesin pemotong kayu mahupun secara manual menggunakan gergaji. Bahagian ini akan dijadikan bahagian utama untuk menempatkan kotak pasu-pasu yang akan direka menggunakan kayu nanti.

Manakala untuk kayu bahagian sokongan rangka agar seimbang, menggunakan kayu yang berbentuk sama, memerlukan awda untuk memotongkan kayu dengan panjang 21”. Lebar kayu pula akan dikurangkan menjadi 4” lebar pada bahagian hujungnya dan 2” lebar pada bahagian hujung yang satu lagi.

Kayu rangka atau kaki rak yang telah ditandakan permukaannya sebelum proses meloreknya.

Untuk melakukannya, tandakan salah satu bahagian hujung dengan ukuran 4” manakala bahagian hujung lagi ditandakan dengan ukuran 2”. Setelah itu, lakar garisan sebagai panduan potongan menghubungkan kedua-dua bahagian yang telah ditandakan tadi.

Setelah memotongkannya, langkah seterusnya adalah menandakan kayu bahagian rangka yang akan dicantumkan dengan kayu sokongan yang direka sebelumnya. Sebelum itu, kayu sokongan dengan ukuran 21” pada bahagian hujung berukuran 4” akan dipotongkan dengan sudut 30 darjah pada bahagian hujungnya. Ini bagi memudahkan awda menempatkannya pada bahagian cantuman dengan tepat.

Untuk menandakan kedudukannya, letakkan kayu bahagian rangka pada meja kerja dengan bahagian hujungnya ditempatkan pada bahagian hujung meja. Setelah itu, kayu bahagian sokongan akan di-letakkan bahagian hujungnya (permukaan berukuran 4”) pada permukaan kayu rangka dengan menepatkan bahagian tersebut dengan sudut kayu. Tandakan dengan pensel bentuk kayu tersebut sebagai panduan ketika proses mereka alur nanti.

Bahagian yang telah ditandakan akan dilorek menggunakan pahat atau mesin router dengan ke dalam 1”. Begitu juga kayu sokongan, ia perlu dilorek A (pada permukaan cantuman) dengan kedalaman yang sama. Lakukan langkah sama untuk bahagian yang satu lagi.

Setelah meloreknya, cantuman bahagian tersebut dengan menyapukan permukaannya menggunakan gam kayu sebelum mengekalkannya dengan paku atau skru. Sementara menunggu gam mengering, lebih kurang sejam, gunakan masa terluang mereka bahagian lain.

Bagi mereka kotak untuk menempatkan pasu plastik di dalamnya, papan-papan ber-ukuran 8”x1/2” yang disediakan akan dipotongkan dengan panjang 23.6” dan lebarnya pula akan di kurangkan menjadi 6 ½”. Sementara untuk bahagian sisi kotak, menggunakan papan yang sama lebarnya, akan dipotongkan dengan panjang 8.6” atau 22sm.

Bagi bahagian bawah kotak, yang akan berfungsi sebagai bahagian sokongan untuk menampung berat pasu, papan berukuran 22.6”x5 ½” akan dipotongkan. Penggunaan mesin pemotong kayu akan lebih memudahkan proses mengurangkan kelebaran papan daripada asal jika dibandingkan dengan gergaji secara manual namun ia masih boleh dilakukan.

Setelah memotongkannya, cantumkan keseluruhan bahagian dengan menyapukan gam kayu pada permukaan cantuman sebelum menetapkan kedudukannya menggunakan paku atau skru. Sebelum memukul paku atau memasukkan skru pada permukaan kayu tersebut, pastikan ia ditebuk dahulu menggunakan mata gerudi berukuran 0.6mm bagi memastikan paku atau skru yang digunakan tidak membelah papan tersebut.

Bagi kayu bahagian bawah kotak pasu yang berukuran 22.6 x 5 ½”, akan dicantumkan melalui bahagian dalam kotak. Ini adalah bagi memastikan ia cukup kukuh dan mampu menampung berat pasu berisi tanah nanti. lakukan langkah yang sama di mana keseluruhan permukaan cantuman perlu disapukan dengan gam kayu terlebih dahulu sebelum mengekalkannya menggunakan paku atau skru.

Kotak pasu yang direka ini adalah rendah sedikit jika dibandingkan dengan tinggi asal pasu. Tujuannya bagi memastikan anda mudah untuk mengangkat atau mengeluarkannya jika ingin menukarkannya dengan yang lain atau ketika ingin membersihkan permukaan rak pasu bertingkat.

Langkah seterusnya adalah mencantumkan kotak pasu yang telah direka tadi ke bahagian kaki rak (rangka asas) yang telah direka sebelumnya. Dalam langkah ini, bantuan seseorang diperlukan untuk memegang kedua-dua kaki rak tersebut bagi memudahkan anda mencantumkan kotak-kotak tersebut menggunakan skru. Tempatkan kotak pasu pada bahagian dalam kaki rak dan gunakan leveler untuk memastikan kedudukannya rata sebelum mengekalkan kedudukannya menggunakan skru.

Langkah terakhir adalah melindungi permukaan kayu menggunakan varnis bagi memastikannya tidak mudah rosak atau mereput memandangkan ia akan terdedah dengan air. Dengan menempatkan pasu ditanam dengan tumbuhan ke dalam kotak pasu, rak pasu unik sudah pun siap.