Oleh Amri HTZ
HOBI memelihara pelbagai jenis bunga merupakan hobi yang amat popular di kalangan masyarakat awam terutamanya bagi kaum wanita. Pelbagai jenis bunga yang berwarna-warni dipilih untuk dijadikan perhiasan rumah atau sesebuah ruang. Tumbuhan jenis kaktus merupakan sejenis tumbuhan yang semakin popular pada masa ini memandangkan ia tumbuhan yang tidak perlu diberi banyak perhatian untuk menjaganya. Bagi memastikan kaktus yang dipelihara mampu memberikan seri pada sesebuah ruangan, pasu yang digunakan memainkan peranan yang sangat penting selain posisinya.
Barang-barang yang diperlukan
Bagi mereka pasu kaktus untuk dinding ruang bilik ini, beberapa barangan dan peralatan yang diperlukan iaitu akuarium untuk ikan berbentuk separuh bulat, batu dasar untuk akuarium, bunga kaktus, rantai Brass, sekeping papan lapis, cat berwarna putih, kertas pasir 300 grit, cangkuk dinding Brass (cup hooks), cangkuk (quick snap) pengepit saiz sederhana (wood clamp), gam silikon / multi-surface, mata gerudi, mesin gerudi dan jigsaw.
Proses pembuatan
Pada langkah pertama, lukis papan lapis yang telah disediakan dengan menggunakan kompas dengan memastikan ukuran yang dilebihkan dua inci daripada saiz akuarium. Pada projek ini, kayu bulat yang berdiameter 13 inci diperlukan untuk dijadikan bahagian belakang pasu kaktus nanti. Setelah melakar bulatan pada papan lapis yang telah disediakan, potong lakaran tersebut dengan menggunakan mesin jigsaw. Gunakan mata bilah jigsaw yang dikhaskan untuk kayu untuk memastikan papan lapis yang dipotong mempunyai permukaan potongan yang cantik.


Manakala pada langkah kedua, papan lapis yang telah dipotong tadi perlu digosok menggunakan kertas pasir berukuran 300 grit dengan memastikan setiap permukaan halus. Ini adalah bagi memastikan akuarium dinding yang digunakan nanti seimbang dengan permukaan kayu selain penting untuk proses mengecat. Setelah menggosok keseluruhan permukaan kayu, sapukan cat pada permukaan kayu sama ada menggunakan cat sembur atau menggunakan berus. Pastikan lapisan cat yang pertama disapu nipis dan memberikan masa untuk cat mengering lebih kurang 30 minit sebelum memberikan lapisan yang kedua. Lakukan proses mengecat pada ruang khas atau gunakan alas pada tempat mengecat agar tidak menjadi kotor.
Pada langkah ketiga pula, sementara menunggu lapisan kedua cat mengering, gunakan masa ini untuk melakukan proses seterusnya. Batu dasar untuk akuarium perlu dicuci untuk menghilangkan kotoran atau mungkin terdapatnya bahan-bahan kimia di dalamnya tersedia dari kilang. Pilih batu dasar yang nampak natural bagi memberikan impak daripada segi keindahan pada rekaan anda. Langkah yang terbaik adalah dengan menggunakan air panas dengan merendam batu-batu tersebut selama lebih kurang 10 minit.




Setelah cat mengering, pada langkah keempat ini, kapitkan akuarium yang telah disediakan dengan menggunakan pengepit kayu pada keempat-empat sudut seperti dalam gambar yang disediakan. Sebelum mengepit akuarium ada permukaan kayu, sapukan gam pada bahagian belakang bulatan luar akuarium. Langkah ini adalah bagi memastikan kedudukan akuarium tidak akan berubah dan gam akan melekat dengan kukuh selain memudahkan proses mengamkan tanpa anda memegangnya.
Pada langkah kelima, setelah membiarkan gam mengering lebih kurang 24 jam, tebuk bahagian atas permukaan akuarium dengan menggunakan mesin gerudi. Lubang yang ditebuk ini berfungsi untuk menyangkutkan cangkuk pada rantai Brass. Gunakan mata gerudi berdiameter 0.8mm bagi memudahkan anda memasukkan cangkuk.
Pada langkah keenam, tebuk dinding anda dengan ketinggian yang sesuai dengan minat anda. Pada projek ini, sebanyak lima lubang akan dibuat dengan ketinggian yang sama. Pada lubang yang telah dibuat ini, cangkuk jenis cup akan digunakan untuk memudahkan proses menggantung pasu kaktus. Rantai Brass yang telah disediakan tadi akan dipotong dengan ukuran yang berlainan bagi membezakan kedudukannya di antara satu dengan yang lain.
Pada langkah ketujuh, isikan pasu akuarium dengan batu dasar akuarium lebih kurang separuh daripada ruang akuarium tersebut. Setelah melakukannya, tanamkan kaktus yang telah dipilih dengan memastikan sedikit bahagian daripadanya tenggelam di dalam batu. Semburkan air biasa pada tumbuhan anda menggunakan botol penyembur khas bunga sebanyak dua kali sehari bagi memastikan kaktus tumbuh dengan sihat pada pasu bergantung anda.