Pasukan Al-Mukarabin, Al-Amirah juara dikir

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Nov – Pasukan Dikir Al-Mukarabin dari Mukim Sengkurong dan Pasukan Dikir Al-Amirah dari Mukim Mentiri, masing-masing berjaya muncul sebagai juara dalam Kategori Lelaki dan Wanita dalam Pertandingan Dikir Syarafil Anam antara Majlis-majlis Perundingan Mukim dan Kampung Seluruh Negara peringkat akhir yang diadakan di Dewan Serba Guna, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Lapangan Terbang Lama Berakas, semalam.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan isteri, Datin Paduka Hajah Zahrah binti Haji Mohamad.

Sementara tempat kedua dan ketiga dalam Kategori Lelaki pula masing-masing disandang oleh Pasukan Dikir An-Nur dari Mukim Labu dan Pasukan Dikir Al-Muflihun dari Mukim Kuala Belait.

Manakala dalam Kategori Wanita, Pasukan Dikir Khairunnisa dari Mukim Bokok menduduki di tempat kedua, diikuti di tempat ketiga oleh Pasukan Dikir Soleha dari Mukim Kuala Belait.

Pertandingan akhir itu turut diserikan dengan persembahan tausyeh dari Kumpulan Tausyeh Biro Wanita Majlis Perundingan Mukim Sengkurong.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar ketika menyampaikan hadiah kepada johan Kategori Lelaki.

Acara yang diadakan bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-72 tahun itu telah disertai sebanyak 10 buah pasukan dikir lelaki dan wanita majlis-majlis perundingan mukim dan kampung dari keempat-empat daerah di seluruh negara.

Antara Pasukan Dikir Lelaki yang ikut serta ialah Pasukan Dikir Al-Abrar dari Mukim Menteri, Pasukan Dikir Fiqrah Khairul Mu’minin dari Mukim Kiudang, Pasukan Dikir Al-Musawir dari Mukim Sengkurong, Pasukan Dikir Al-Muflihun dari Daerah Belait, dan Pasukan An Nur dari Mukim Labu.

Bagi Pasukan Dikir Wanita pula disertai oleh Pasukan Dikir Al-Amirah dari Mukim Menteri, Pasukan Dikir Khairunnisa dari Mukim Bokok, Pasukan Dikir Kahirun Husna dari Mukim Pekan Tutong, Pasukan Dikir Soleha dari Mukim Kuala Belait dan Pasukan Dikir Al-Hidayah dari Mukim Sengkurong.

Pada tahun ini, pertandingan tersebut telah dianjurkan oleh Majlis Perundingan Mukim Sengkurong dengan kerjasama Bahagian Institusi Penghulu Mukim dan Ketua Kampung, Jabatan Daerah Brunei dan Muara.