Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Jurulatih Pasukan Bola Sepak Bawah 15 Tahun (B-15) Brunei Darussalam, Stephen Ng memaklumkan bahawa semua pemain dan delegasi Brunei Darussalam yang menyertai kelayakan Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asia B-16 dalam keadan selamat sejak tiba di Chinese Taipei semalam.
Beliau menyarankan supaya peminat dan penyokong pasukan negara agar tidak risau mengenai ramalan taufan akan melanda negara penganjur hari ini, yang turut menyebabkan aksi persahabatan menentang Akademi Chelsea Taipei dibatalkan sebelum perlawanan pembukaan menentang Macau, Sabtu ini.
Menurut Stephen, situasi di sana tidak seteruk yang dijangkakan kerana ramalan cuaca menjangkakan akan berlaku tiupan angin berkelajuan 137 hingga 173 kilometer sejam. Beliau turut menambah bahawa semua dalam keadaan baik sahaja dan menurut ramalan cuaca di sana langit akan beransur cerah Jumaat ini nanti dan mengesahkan taufan berkenaan berubah arah menuju ke Jepun.
“Ibu bapa, penyokong dan peminat pasukan negara tidak perlu risau dan kami akan terus berlatih esok dan akan mula bertanding hujung minggu ini, doakan kejayaan serta kesejahteraan kami di sepanjang berada di sini,” ujarnya lagi.
Menurutnya, pihak tuan rumah belum memaklumkan sebarang perubahan waktu dan persaingan dalam Kumpulan F bersama Macau, Chinese Taipei, Korea Utara dan Hong Kong akan berjalan seperti yang dijadualkan AFC.