Pasukan bola sepak kebangsaan kekal di tempat ke-191

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam kekal di tempat ke-191 dalam ranking dunia FIFA yang baru dikeluarkan, di mana tidak ada pergerakan ranking bagi pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa berikutan wabak COVID-19.

Pasukan Tebuan berada di kedudukan ke-42 daripada 46 penyertaan dalam carta ranking untuk negara-negara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), mendahului pasukan kebangsaan Timor Leste, Guam, Pakistan dan Sri Lanka.

Brunei, yang mengumpulkan keseluruhan 904 mata, kali terakhir muncul dalam pusingan pertama kelayakan Piala Dunia FIFA untuk AFC menentang Mongolia pada Jun lalu.

Jepun, yang berada di kedudukan ke-28 di dunia terus menerajui benua Asia sebagai pasukan kebangsaan dengan kedudukan terbaik diikuti oleh Iran, yang menduduki tempat ke-33 di dunia. Korea Selatan, Australia dan tuan rumah FIFA Piala Dunia 2022 Qatar di kedudukan kelima teratas.

Sementara itu, Vietnam adalah negara dengan kedudukan terbaik di antara persatuan anggota Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) yang telah menduduki tempat ke-94 dalam ranking dunia dan ke-14 di antara negara-negara AFC.

Pasukan Naga Emas itu telah diberi penghargaan setelah kempen kelayakan Piala Dunia yang mengagumkan setakat ini yang menyaksikan kejayaan mereka berada di puncak Kumpulan G dengan rekod tanpa kalah.

Manakala, Thailand merupakan pasukan kedua terbaik di AFF yang telah menduduki tempat ke-113 di dunia dan ke-20 di benua ini.

Diikuti dengan Filipina, yang berada di kedudukan 124 dunia adalah yang ketiga terbaik di AFF, Seterusnya negara-negara ASEAN, Myanmar di tangga ke-136, Malaysia di tangga ke-154, Singapura di tangga ke-157, Indonesia dan Kemboja kedua-duanya berkongsi kedudukan di tangga ke-173, Laos di kedudukan ke-188 dunia dan Brunei berada di kedudukan ke-191 serta Timor Leste ke-196 dunia.

Sementara itu, Belgium mendahului peringkat global diikuti oleh pemenang Piala Dunia Perancis dan Brazil.

England berada di kedudukan keempat di dunia sementara Uruguay melengkapkan lima negara teratas. Kedudukan peringkat dunia bagi pasukan-pasukan tersebut berdasarkan sistem mata yang menampilkan 210 pasukan daripada enam konfederasi.

Pandemik COVID-19 telah memaksa penundaan perlawanan antarabangsa termasuk kelayakan Piala Dunia dan Euro, yang pada awalnya dijadualkan pada musim panas ini, dipindahkan ke tahun depan. Walaupun begitu, AFC dalam perundingan dengan FIFA baru-baru ini telah mengumumkan tarikh perlawanan yang dicadangkan untuk perlawanan yang tersisa pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia FIFA untuk konfederasi AFC dan kelayakan Piala Asia 2023.