Pasukan Brunei Wasps akan wakili negara

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Pasukan Brunei Wasps dari Politeknik Brunei akan mewakili Negara Brunei Darussalam dalam pusingan final serantau ASEAN DATA Science Explorers (ASEAN DSE) 2020 pada November depan setelah dinobatkan sebagai johan final kebangsaan, Brunei Darussalam yang diadakan secara maya, hari ini.

Pasukan Brunei Wasps, yang terdiri daripada Awang Hakim Ridzuan dan Awang Hamizan Sufri dari Politeknik Brunei berjaya memenangi tempat pertama dengan projek ‘Tenaga Bersih ke arah Bandar Mampan’.

Manakala itu, Pasukan Youth Analyst yang terdiri daripada Calista Fahira Ridrany Jasmine dan Awang Mohammad Hanif Muqri bin Haji Sufri dari LaSalle College Jakarta dan Universiti Brunei Darussalam, muncul sebagai naib juara dengan projek yang direka untuk meningkatkan kualiti udara di 10 negara ASEAN. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Pasukan Data Analytics Duo, yang terdiri daripada Awang Mohd Muqri Izzuddin dan Zhen Yee Ang, Ryan dari Universiti Teknologi

Brunei dengan projek mengenai meningkatkan akses dan kelajuan Internet.

Ketiga-tiga pemenang dinilai berdasarkan kemampuan mereka merancang konsep serba boleh terbaik yang menangani masalah sosioekonomi ASEAN, didorong oleh pandangan data. Kriteria penilaian melihat kreativiti, kelayakan, inovasi, dan kemampuan pasukan untuk menunjukkan pelaksanaan penyelesaian masing-masing.

Pengarah Urusan SAP Malaysia, Kok Cheong Hong dipetik sebagai berkata, “Bersama ASEAN Foundation, kami di SAP sangat mendorong para belia untuk menggunakan kemahiran mereka yang baru dipelajari daripada SAP Analytics Cloud untuk membuat inovasi yang mampan untuk isu-isu sosial dan ekonomi semasa, serta menggunakan kemahiran ini untuk pengembangan diri mereka sendiri.

“Kemahiran digital lebih relevan sekarang di tengah-tengah keadaan pandemik pada masa ini dan ketika kita melihat ke arah pemulihan. Kami gembira melihat bahawa belia di ASEAN dapat membuat perbezaan ke arah tujuan itu dan meningkatkan kehidupan manusia,” tambah beliau.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, seramai 852 beliau di seluruh rantau ini bertanding untuk mewakili negara mereka dalam final kebangsaan, dengan 4,563 pelajar dan pensyarah dilatih dalam SAP Analytics Cloud.

ASEAN DSE adalah program serantau oleh ASEAN Foundation dan SAP yang bertujuan untuk memangkin aktivisme dan pemikiran kritis dalam kalangan pelajar universiti di ASEAN.

Sejak penubuhannya pada 2017, ASEAN DSE telah memperkasa lebih 16,259 orang pelajar dan 1,420 orang pensyarah dari 370 institusi pendidikan tinggi di rantau ini dengan kemahiran-kemahiran analitis data.

Program tersebut melibatkan para belia untuk mengembangkan penyelesaian berdasarkan data yang mengetengahkan enam matlamat pembangunan mampan iaitu kesihatan dan kesejahteraan yang baik; pendidikan berkualiti; kesetaraan jantina; pekerjaan yang baik dan pertumbuhan ekonomi; industri, inovasi dan infrastruktur; serta bandar dan komuniti yang mampan dengan memanfaatkan perisian Analystics Cloud SAP.