Pasukan dihantar nilai kerosakan gempa bumi di PNG

KOKOPO, Papua New Guinea, 15 Mei – Papua New Guinea (PNG) menghantar pasukan penilai hari ini untuk mendapatkan gambaran sebenar kerosakan akibat gempa bumi kuat yang berukuran 7.5 magnitud yang menggegarkan rangkaian kepulauan pantai utara malam semalam.

Seorang wartawan AFP dan penduduk di New Britain berkata, bekalan elektrik masih terputus dan stesen radio tidak beroperasi kira-kira 12 jam selepas gempa, namun kelihatannya tiada kerosakan besar pada struktur atau adanya korban jiwa.

“Tidak banyak berlaku kerosakan, hanya barangan jatuh,” kata Ellen Morgan, seorang pengurus di Kokopo Beach Bungalows.

Pihak berkuasa di pelabuhan berhampiran Rabaul berkata, tiada kerosakan besar berlaku terhadap kemudahan itu yang beroperasi seperti biasa.

Infrastruktur komunikasi PNG yang teruk, kekurangan jalan raya dan bentuk muka bumi sukar bermaksud ia mengambil masa beberapa hari sebelum impak penuh bencana alam itu diketahui.

Seorang jurucakap bagi Pusat Bencana Kebangsaan (NDC) di Port Moresby memberitahu AFP yang mereka sudah menghantar pasukan untuk meneliti kerosakan penuh.

“Pasukan penilai dihantar ke kawasan itu namun kami belum mendengar apa-apa berita daripada mereka lagi, jadi, kami tiada apa-apa untuk dilaporkan,” katanya.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan, kira-kira 120,000 penduduk tinggal dalam lingkungan 50 kilometer dari pusat gempa.

Gempa kuat lewat semalam itu menyebabkan penduduk lari menyelamatkan diri dan mencetuskan kebimbangan tsunami.

Ia berlaku sekitar jam 11 malam (1300 GMT), kira-kira 44 kilometer di timur laut Kokopo pulau New Britain, kata Jabatan Geologi Amerika Syarikat. – AFP