Pasukan ECRL China akan kunjungi malaysia

KUALA LUMPUR, 21 Feb – Pasukan perundingan daripada kerajaan China dijangka berkunjung ke Malaysia untuk mengadakan perbincangan lanjut berkaitan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Malaysia, yang pelaksanaannya masih belum diputuskan, kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Tun Daim Zainuddin.

“Biar saya jelaskan, kami masih berunding. Sebenarnya, mereka akan datang ke Malaysia bulan ini. Mereka mengundang saya ke China sebelum ini, tetapi saya tidak dapat pergi, sebab itulah saya mempelawa mereka untuk datang ke Malaysia,” katanya dalam wawancara bersama akhbar Nanyang Siang Pau yang disiarkan hari ini.

Ditanya sama ada terdapat kemungkinan keputusan akhir dicapai berhubung isu itu, Daim berkata: “Mudah-mudahan ada keputusan yang dicapai, bagaimanapun ia bukan mudah sebab isu ini agak rumit.”

Beliau menyifatkan projek itu sebagai ‘isu sensitif’, justeru, lebih baik untuk kurangkan bercakap mengenainya.

“Jika tidak, apabila saya memperkatakan sesuatu mereka mungkin tersalah tafsir, kemudian mereka bertanya kenapa saya cakap begitu? Isu ini kemudian akan menjadi lebih sensitif.”

Beliau berkata delegasi yang bertanggungjawab dalam projek ECRL itu akan turut memberi taklimat berkaitan inisiatif ‘Satu Jalur Satu Jalan’ (OBOR) China.

Sementara itu dalam wawancara dengan Sin Chew Daily pula, Daim ditanya tentang isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Beliau berkata kerajaan seharusnya menenangkan perasaan orang Melayu serta menyingkirkan sebarang kebimbangan mereka berkaitan isu itu, dan kerajaan juga perlu memberitahu orang Melayu bahawa mereka tidak akan kehilangan apa-apa. – Bernama