Wednesday, April 24, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Pasukan Gamification juarai pertandingan keusahawanan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 APRIL – Pasukan Gamification dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) yang mengetengahkan produk permainan papan dengan konsep berhibur sambil belajar, muncul sebagai juara dalam Pertandingan Keusahawanan BIMP EAGA pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Keusahawanan BIMP-EAGA yang berlangsung di Dewan Kuliah, Sekolah Penerbangan, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, hari ini.

    Hadir untuk menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Datin Seri Paduka Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh, setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, ahli rasmi BIMP-EAGA (Brunei), pengarah-pengarah, para peserta pertandingan dan jemputan khas.

    Pada majlis berkenaan, tiga buah kumpulan teratas pertandingan iaitu Pasukan Gamification, Pasukan SES Cares dan Pasukan Mended Designs telah berpeluang untuk membentangkan dan memberikan penerangan mengenai produk serta perniagaan mereka.

    Majlis turut menyaksikan Ketua Pusat Inovasi Keusahawanan, Kementerian Pendidikan, Awang Adna Shatriremie bin Haji Abdul Rahman memberikan ulasan panel hakim di mana kriteria utama dalam penghakiman pertandingan berkenaan ialah para pasukan perlu membuktikan bahawa idea mereka boleh dilaksanakan, pasaran adalah bersedia untuk menerima produk mereka, perniagaan itu boleh berkembang dan mampan serta keupayaan pasukan berkenaan untuk tahan menghadapi cabaran dan rintangan dalam menceburi dunia perniagaan.

    Beliau seterusnya mengumumkan para pemenang pertandingan berkenaan di mana juara pertandingan di sandang oleh Pasukan Gamification yang terdiri daripada Dayang Nor Fatin Wafiqah binti Haji Noralimen, Dayang Nur Faezah binti Abdul Rahim, Dayang Zahidah binti Haji Mohd Yussof dan Dayang Aishah Najirudeen.

    Tempat kedua dimenangi oleh Pasukan SES Cares dari UBD yang terdiri daripada Dayangku Fatnin Syahirah binti Pengiran Mohd Shah, Dayangku Zayanah Zafirah binti Pengiran Mohd Suffian, Dayang Nur Rizwana binti Masrizal dan Dayang Nurul Izzati Syasya binti Azami.

    Manakala itu, tempat ketiga dimenangi oleh Pasukan Mended Designs juga dari UBD yang terdiri daripada Dayang Maydreen Ling binti Mohammad Tony Ling, Awang Muhammad Fahreen Adreey bin Abdullah Walther, Awangku Mahmud Zuhairi binti Pengiran Mohamad dan Dayangku Amal Basirah binti Pengiran Haji Sabtu.

    Yang Berhormat Dato seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang di mana Pasukan Gamification membawa pulang wang tunai $2,000, Pasukan SES Cares memenangi $1,500 dan Pasukan Mended Designs membawa pulang $1,000 manakala itu, enam buah pasukan lain membawa pulang hadiah sagu hati berupa wang tunai $200.

    Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Pasukan Gamification menyatakan perasaan syukur dan terkejut apabila mereka diumumkan sebagai juara bagi pertandingan itu.

    Mereka berkata bahawa kemenangan itu merupakan satu kejutan yang indah bagi mereka serta menjadi pembakar semangat untuk meneruskan usaha ke arah menceburi bidang keusahawanan.

    Mereka turut menyatakan bahawa rancangan mereka adalah untuk menggunakan maklum balas orang ramai mengenai produk tersebut sebagai panduan untuk menghalusi konsep papan permainan mereka supaya ia benar-benar mencapai hasrat sebagai permainan yang dapat menghiburkan para pemain sambil mendidik mereka.

    Sebanyak 43 buah pasukan telah mengemukakan cadangan mereka bagi pertandingan berkenaan di mana sembilan buah pasukan telah di senarai pendekkan untuk menyertai pertandingan itu.

    Setiap pasukan telah dibimbing oleh pelbagai usahawan untuk membantu mereka mempersiapkan pembentangan selama lima minit kepada panel hakim yang terdiri daripada Awang Adna Shatriremie; Pengarah Program, Shell LiveWIRE Brunei, Haji Abdul Yusrin bin Dato Seri Laila Jasa Haji Mohd Salleh; Pakar Kewangan, Darussalam Enterprise (DARe) dan ahli Brunei Darussalam BIMP-EAGA Business Council 2021-2024, Jason Tse Tow serta Haji Syed Mohammad Yassin Haji Syed Anayatullah Shah dari Persatuan Usahawan Muda Brunei (YEAB).

    Pertandingan Keusahawanan BIMP-EAGA 2022 adalah sebagai kesinambungan kepada Kem Keusahawanan BIMP-EAGA yang telah diadakan pada 6 hingga 8 Disember 2021.

    Pertandingan itu bermatlamat untuk memupuk pembangunan ekonomi tempatan dengan menggalakkan serta menyokong usahawan tempatan.

    Dengan merangsang kegiatan keusahawanan dan menggalakkan perniagaan kecil untuk menjana pembentangan perniagaan yang kukuh, ia akan menggalakkan penjanaan lebih banyak perusahaan-perusahaan baharu serta perkembangan perniagaan-perniagaan yang sedia ada di Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua gempa berukuran 6 dan 6.3 magnitud landa timur Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Dua gempa bumi berukuran 6 dan 6.3 magnitud melanda tengah Daerah Hualien di timur Taiwan masing-masing pada 2:26 pagi dan 2:32 pagi ini,...