BEIRUT, 7 Jan – Pasukan kerajaan Syria dan anggota militia bersekutu mara ke wilayah terbesar yang masih dikuasai pemberontak di utara negara itu, yang memaksa beribu-ribu orang awam melarikan diri ke arah sempadan dengan Turki dalam suhu cuaca musim sejuk yang dingin.
Serangan ke atas Idlib, sebuah wilayah besar di barat laut Syria yang penuh dengan orang awam dan didominasi oleh militan-militan yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda dijangkakan selepas kekalahan kumpulan Islamic State lewat tahun lalu.
Minggu lalu, Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov berkata operasi utama tentera ke atas IS di Syria telah berakhir dan memperlihatkan bahawa tumpuan akan beralih pada militan-militan yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda. Serangan di Idlib membawa risiko besar.
Wilayah yang bersempadan dengan Turki itu didiami oleh kira-kira dua juta orang warga Syria, termasuklah berpuluh-puluh ribu orang yang lari dari pertempuran di tempat lain. Serangan besar-besaran oleh kerajaan boleh mengakibatkan kemusnahan besar dan pemindahan besar-besaran.
Turki, penyokong para pemberontak, telah menghantar pemerhati tentera di wilayah itu sebagai sebahagian usaha melemahkan perjanjian Iran dan Rusia, tetapi tidak menghentikan pertempuran di sana dan serangan udara Rusia ke atas para pemberontak.
Tidak jelas berapa jauh sasaran serangan dan proses menawan semula keseluruhan wilayah dijangka lama dan berdarah. Aktivis pembangkang berkata sasaran utama buat masa ini ialah pangkalan udara yang dikuasai pemberontak di Abu Zuhour, di hujung timur barat wilayah itu, dan melindungi jalan raya Damsyik-Aleppo yang merentasi wilayah Idlib.
Dalam tempoh dua bulan, pasukan tentera yang dibantu oleh serangan udara Rusia telah menawan lebih 80 buah bandar dan kampung di bahagian utara wilayah Hama yang berdekatan dan mencerobohi Idlib buat pertama kali sejak pertengahan 2015.
Serangan semakin digiatkan pada hari Krismas, apabila salah seorang pegawai Presiden Bashar Assad yang paling dipercayai dan berpengalaman menerajui operasi untuk meluaskan kehadiran kerajaan, ke arah Idlib dan meningkatkan keselamatan bagi jalan raya yang menghubungi ibu negara, Damsyik, dengan Aleppo, bandar terbesar Syria. – AP