YAOUNDE, 19 JAN – Juara empat kali, Ghana tersingkir dari Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) selepas tewas 3-2 kepada pasukan Comoros yang berada dalam kumpulan C kelmarin di Garoua.
Pasukan The Black Stars menyaksikan kapten Andre Ayew dibuang padang pada minit ke-25, dan selepas mengurangkan jurang dua gol, tewas apabila pemain Comoros, Ahmed Mogni menjaringkan gol keduanya lima minit sebelum tamat.
Magribi dan Gabon seri 2-2 di Yaounde dalam kumpulan yang sama untuk merebut tempat pertama dan kedua, serta melayakkan diri ke pusingan kelompok 16 terakhir, yang akan bermula pada Ahad.
Comoros, mewakili sebuah negara pulau kecil di luar pantai tenggara Afrika, menduduki tempat ketiga dan mesti menunggu sehingga hari Khamis untuk mengetahui jika mereka adalah antara empat terbaik daripada pasukan tempat ketiga, yang akan mendapat tempat 16 terakhir.
“Kami tidak akan berundur walaupun selepas Ghana menyamakan kedudukan. Kami selalu percaya bahawa kami akan mencapai kemenangan untuk negara kami,” kata jurulatih Comoros, Amir Abdou, yang telah mengendali pasukan sejak 2014.
“Saya menurunkan pemain penyerang dengan kepercayaan bahawa kami dapat menjaringkan gol ketiga dan keputusan saya membuahkan hasil. Sekarang kami mesti menunggu jika kami termasuk di antara empat terbaik dalam pasukan tempat ketiga dan bermain dalam pusingan kedua.
“Kami berpuas hati dengan cara kami bermain. Kami mempunyai perancangan dan berpegang kepadanya.” – AFP