Pasukan lari berganti-ganti 4x100m AS gagal ke final

TOKYO, 5 OGOS – Pasukan lari berganti-ganti 4×100 meter Amerika Syarikat (AS) sekali lagi berdepan detik mengecewakan di Sukan Olimpik selepas gagal ke final hari ini dengan Carl Lewis menganggapnya sangat memalukan.

AS hadir di Tokyo sebagai pasukan pilihan selepas meraih kejayaan di Kejohanan Dunia 2019 yang meningkatkan harapan untuk memenangi pingat emas acara itu di Olimpik sejak 21 tahun lalu.

Tetapi impian mereka musnah selepas pasukan lari berganti-ganti terdiri daripada Trayvon Bromell, Fred Kerley, Ronnie Baker dan Cravon Gillespie hanya menduduki tangga keenam dengan catatan 38.10 saat semasa peringkat saringan.

Pertukaran baton yang tidak sempurna di antara Kerley dan Baker serta larian hambar Gillespie menyebabkan mereka tersingkir sekali gus kali pertama kali acara lari berganti-ganti 4x100m negara itu gagal ke final di Olimpik.

AS gagal merebut gelaran Olimpik sejak 2000 dan kali terakhir mereka meraih pingat di temasya itu pada 2004 dengan memenangi perak di Athens.

Legenda pecut AS, Lewis tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya dengan prestasi pasukan terbabit.

“Pasukan AS melakukan banyak kesilapan dalam acara berganti-ganti,’’ kata Lewis di Twitter.
“Pertukaran baton salah, teknik larian juga salah dan jelas tiada kepimpinan.

“Sangat memalukan dan tidak dapat diterima buat pasukan AS yang saya nampak lebih buruk daripada mereka yang bertanding di AAU (Amateur Athletic Union),” tambahnya. – AFP

Aksi Trayvon Bromell dari AS bertanding dalam acara lari berganti-ganti 4x100m lelaki semasa Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Stadium Olimpik di Tokyo semalam. – AFP