Pasukan Mumtaz muncul juara

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 April – Pasukan Mumtaz telah dinobatkan sebagai juara dalam Kejohanan Bolasepak Veteran 9 Sepasukan ke-2 yang berlangsung hari ini bertempat di Padang Bolasepak Sekolah Menengah Awang Semaun.

Kemenangan berpihak kepada Pasukan Mumtaz apabila berjaya menewaskan Pasukan SMFC ‘B’ yang terpaksa akur berada di posisi kedua setelah ditewaskan dalam perlawanan akhir dengan keputusan tipis selepas permainan terpaksa diheret ke pusingan penalti yang mana berpihak kepada Pasukan Mumtaz apabila berjaya menyempurnakan enam sepakan gol berbanding Pasukan SMFC ‘B’ yang hanya berjaya menyudahkan lima biji gol.

Sementara itu berada di tempat ketiga bersama ialah Pasukan AKSE ‘A’ dan Pasukan PSJD yang masing-masing tewas di perlawanan separuh akhir menentang Pasukan Mumtaz dan Pasukan SMFC ‘B’.

Juara bagi kejohanan yang dianjurkan oleh Terazza FC berkenaan berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah  $1,000 berserta piala iringan dan pingat.

Sementara naib juara mendapat wang tunai berjumlah $600, piala iringan berserta pingat, manakala pasukan di tempat ketiga berjaya membawa bersama hadiah berupa wang tunai berjumlah $300 berserta piala iringan.

Hadir bagi menyaksikan perlawanan dan seterusnya berkesudian menyampaikan piala dan hadiah kepada para pemenang pada petang tadi ialah pengarah kejohanan, Haji Ayubhan bin Haji Jaya.

Pasukan Mumtaz menjuarai Kejohanan Bolasepak Veteran 9 Sepasukan ke-2 yang dianjurkan oleh Terazza FC. – Gambar Muiz Matdani