Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Pasukan robotik Brunei Darussalam telah menampilkan persembahan terbaik pada Pertandingan Robotik FIRST Global 2022, baru-baru ini, dengan mendapat tempat ke-88 berbanding kedudukan 112 pada 2019.
Malah, pasukan berkenaan juga memenangi cabaran media sosial ‘Lead the Way’, umum Universiti Teknologi Brunei (UTB) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.
Mewakili negara ke pertandingan yang berlangsung di Geneva, Switzerland dari 13 hingga 16 Oktober lalu itu, yang menandakan penyertaan ketiga negara, ialah enam orang pelajar iaitu Awang Mohd Arief Firdaus bin Abdullah Arman, Awang Mohd Shazriman bin Amtani dan Awang Zulhaiqal Raziq bin Zainal dari Sekolah Menengah Awang Semaun.
Tiga pelajar lagi dari Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah ialah Awang Muhammad Darwisy Hakimie bin Mardeny @ Yakub, Dayang Iman Alhumaira binti Haji Ahmad Abdussalam @ Erman dan Dayang Mumta-zah Noha Umaimah binti Muhammad Nudin.
Turut menyertai ialah dua orang pembimbing dari UTB iaitu Penolong Profesor dan Timbalan Pengarah Pejabat Perusahaan, Dr Sharina Yunus; dan Pensyarah Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Awang Mohd Khairuddin Ghafar.
Sama-sama menjayakan misi para peserta berkenaan ialah seorang pelajar pascasiswazah, Dayang Nur Syadza Elyanna Kok; dan seorang guru dari Sekolah Menengah Awang Semaun, Arief Ebil yang bertanggungjawab dalam merakam detik-detik perjalanan rombongan bagi keperluan laman sosial.
Lebih 180 buah negara telah menyahut cabaran dalam pertandingan tersebut yang mula dilancarkan pada 2017 dengan sokongan daripada pereka dari Amerika Syarikat, Dean Kamen.
Ia bermatlamat untuk menggalakkan golongan muda dari seluruh dunia untuk menggunakan kemahiran teknikal dan pengetahuan mekanikal mereka bagi menghadapi cabaran yang mewakili penyelesaian simbolik kepada masalah global.
Tema pada tahun ini adalah penangkapan karbon, teknologi baharu di mana karbon dioksida yang memerangkap haba berlebihan dalam atmosfera disedut keluar dari atmosfera dan diasingkan, selalunya di bawah tanah, untuk membantu dalam usaha memerangi pemanasan global.
Dalam pertandingan itu, enam negara bersaing pada satu masa di mana mereka dibahagikan kepada dua pakatan yang berbeza dan kemudian bekerjasama untuk mencedok bola plastik yang mewakili karbon.
Matlamat asas adalah untuk mengisi sebanyak mungkin bola ke dalam menara yang di atasnya diletakkan funnel di tengah padang permainan.
Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP), Brunei LNG, I.T. Protective Security Services Sdn Bhd (ITPSS), Bank Baiduri, dan imagine Sdn Bhd merupakan penaja platinum pasukan negara.
Sementara itu, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Progresif Sdn Bhd menjadi penaja emas manakala Petrokon Utama Sdn Bhd (PUSB) penaja gangsa.