Pasukan negara sertai kejohanan futsal di Thailand

Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar oleh Hasrulraizan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD) akan menghantar Pasukan Futsal Kebangsaan Brunei Darussalam bagi mengikuti Kejohanan Futsal Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara 2017 di Thailand pada 23 hingga 29 Januari 2017.

Mengetuai skuad kebangsaan yang berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di Berakas hari ini ialah Awang Rosdin bin Haji Abd Aziz dan juga disertai oleh ketua jurulatih Awang Qusmaini Noor bin Haji Rusli. Sebanyak tujuh pasukan telah menyertai Kejohanan Futsal AFF edisi kali ke-13 ini termasuk Negara Brunei Darussalam, Thailand, Timor-Leste, Malaysia, Myanmar, Laos dan Indonesia dan akan berentap untuk merebut kejuaraan dan gelaran pasukan terbaik antara negara ASEAN. Negara Brunei Darussalam diletakkan di dalam Kumpulan A bersama tuan rumah Thailand dan juga Timor-Leste.

Dalam pada itu, pasukan negara berharap sekurang kurangnya dapat menandingi atau memperbaiki pencapaian terbaiknya menduduki tempat ke-4 pada kejohanan yang sama pada tahun 2008 kerana setakat ini pasukan tuan rumah Thailand adalah pasukan yang paling berjaya dengan 11 kejuaraan.

Mengucapkan selamat jalan dan seterusnya memberikan kata-kata semangat di Lapangan Antarabangsa Brunei ialah Pemangku Timbalan Presiden NFABD, Haji Madli bin Haji Mohd Yusof dan turut dihadiri oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Agung NFABD, Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Mahmud.

Skuad Futsal Tabuan yang akan bersaing dalam Kejohanan Futsal AFF 2017 bersama Haji Madli (tengah) sebelum berlepas ke Thailand.
Skuad Futsal Tabuan yang akan bersaing dalam Kejohanan Futsal AFF 2017 bersama Haji Madli (tengah) sebelum berlepas ke Thailand.

Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Teknikal NFABD, Mike Wong serta Pengarah Pertandingan NFABD,Awang Dayem bin Haji Ali dan ahli-ahli jawatankuasa Eksekutif NFABD.

Skuad Futsal Kebangsaan Brunei Darussalam akan dibarisi oleh 14 pemain antaranya Awangku Muhammad Naqib bin Pengiran Timbang, Faizul Jefry bin Haji Zaini, Fakhri bin Haji Bangkul, Maziri bin Maidin, Abd Khabiir bin Haji Ismail, Muhammad Faiz @ Fayz bin Hasnan, Muhammad Hazlantul Khairul Zaman bin Haji Osman, Mohd Norazizam bin Roslan, Muhammad Nabil bin Haji Maidin, Nur Yamin bin Haji Muhammad, Muhammad Wafiuddin bin Tamit, Sharifuddin bin Marji, Mohd Arif bin Haji Zulkifli dan Muhammad Arib bin Haji Umar.