Pasukan Perancis bunuh ketua IS di Sahel

PARIS, 16 SEPT – Perancis berkata hari ini, tenteranya yang dikerahkan di rantau Sahel Afrika telah membunuh ketua kumpulan Islamic State (IS) di Greater Sahara, yang sudah lama diburu selama bertahun-tahun berhubung serangan maut ke atas tentera AS dan pekerja bantuan Perancis.

Adnan Abu Walid al-Sahrawi membentuk ISGS pada 2015 selepas berpisah dengan kumpulan jihad berkaitan Al-Qaeda dan mengaku menyokong kumpulan IS, yang ketika itu mengawal sebahagian besar Iraq dan Syria.

Sahrawi telah ‘ditumpaskan oleh pasukan Perancis’, kata Presiden Emmanuel Macron dalam Twitter awal hari ini, menggelarnya ‘sebagai kejayaan besar dalam memerangi kumpulan pengganas di Sahel’.

Menteri Pertahanan, Florence Parly memberitahu sidang berita yang Sahrawi telah dibunuh pada pertengahan Ogos oleh pasukan Barkhane, Perancis, yang memerangi kumpulan jihad di seluruh kawasan rantau Sahel, Afrika Barat.

Dia merupakan salah seorang daripada dua yang terbunuh akibat serangan dron semasa menunggang motosikal sekitar Indelimane di utara Mali, kata Ketua Turus Tentera Perancis, Thierry Burkhard dalam sidang.

Ketua Turus Tentera Perancis (kiri) bersama Menteri Pertahanan Perancis semasa sidang media pada 16 September di Paris. Gambar bawah menunjukkan Adnan Abu Walid al-Sahrawi. – AFP

Parly menambah yang identiti Sahrawi kini baru disahkan.

“Dia adalah ketua sebenar ISGS yang membuat semua keputusan,” katanya.

Dia mengelar kematian itu satu ‘pukulan muktamad’ kepada struktur perintah IS di rantau itu dan juga kepada ‘kepaduannya, ketika ISGS tidak akan diragui lagi mempunyai kesukaran menggantikan emirnya dengan figura berkaliber sama’.

Parly berkata Sahrawi telah ‘mengarahkan’ serangan yang membawa kepada pembunuhan enam pekerja bantuan Perancis dan dua jurupandu tempatan mereka semasa melawat taman hidupan luar di Niger pada Ogos 2020.

Dia juga dikehendaki oleh AS berhubung serangan 4 Oktober 2017 di Niger yang membunuh empat Pasukan Khas AS dan empat tentera Niger. Washington telah menawarkan ganjaran AS$5 juta bagi maklumat keberadaan Sahrawi. – AFP