Friday, October 11, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pasukan Polo Brunei menyerlah

    Oleh Mohamad Asyramisyanie

    Gambar oleh Muiz Matdani

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat ke Kejohanan Polo Jubli Emas 2017 di Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.

    Turut berangkat menyaksikan perlawanan hari ini ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

    Mewakili Pasukan Brunei I ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah, Huzaimi Mahari dan Lucas Fernandez.

    Pasukan Brunei I menang bergaya 7-4 ke atas pasukan dari Malaysia iaitu Kelab Polo Diraja Selangor yang dibarisi oleh Tengku Dato Syed Budriz, Toh Muda Rizal, Saladin Mazlan dan Amram Selamat.

     

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat menyaksikan Kejohanan Polo sempena Sambutan Jubli Emas Baginda Menaiki Takhta yang berlangsung di Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.
    DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah ketika beraksi dalam perlawanan menentang Pasukan Malaysia.
    Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Qawi ketika beraksi dalam perlawanan menentang Pasukan Filipina.

    Ketika kedudukan 4-4 di caka keempat, Pasukan Brunei I menghasilkan persembahan bertenaga dengan memperoleh tiga jaringan untuk menjadikan 7-4 hingga perlawanan berakhir.

    Sementara itu dalam satu perlawanan yang berlangsung lebih awal, Pasukan Brunei II yang dibarisi oleh Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Qawi, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar, Pablo Ceasarez dan Marinela Castangeola menentang Pasukan Filipina.

    Perlawanan itu bermula sengit namun pada caka ketiga Pasukan Brunei II mula menguasai perlawanan dengan meraih mata 6-2 meninggalkan Pasukan Filipina sebelum melengkapkan keputusan akhir 7-4 pada caka keempat.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda