Pasukan polo menyerlah

Oleh Fadhil Yunus di Filipina
Gambar oleh Infofoto

MANILA, 5 DIS – Pasukan Polo Brunei Darussalam memulakan perlawanan dengan baik dalam acara gol rendah 0-2 di Sukan Asia Tenggara (SEA) ke-30 selepas mengatasi Indonesia 8-1 di Padang Polo Miguel Romero di Calatagan, Batangas, hari ini.

Berkenan berangkat menyaksikan perlawanan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dan Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan mengetuai pasukan, yang menyasarkan pingat kedua dalam pertandingan tahun ini berikutan kemenangan pasukan yang mengambil bahagian dalam gol tinggi 4-6.

Pasukan polo negara terdiri daripada kapten Muhamad Farid Abdullah, Huzaimi bin Haji Mahari dan Idris Sirat.

Sementara itu, dalam perlawanan pusingan awal yang lain, Malaysia menewaskan Filipina 6-5.5.

Perlawanan disambung esok dengan kedua-dua pasukan Brunei dan Malaysia mencari kemenangan kedua, sementara itu, Indonesia akan bertemu Filipina.

Pasukan Brunei akan mengakhiri pusingan awal menentang Filipina Ahad ini dan Malaysia bertemu Indonesia.

DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen berkenan menyaksikan perlawanan tersebut.
DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah berkenan bergambar ramai bersama pasukan polo Brunei Darussalam.
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dan YAM Pengiran Muda Bahar berkenan menyaksikan perlawanan tersebut.