MADRID, 11 MEI – Pemain-pemain Real Madrid telah kembali ke padang latihan kelab hari ini menjelang penyambungan semula La Liga bulan hadapan.
Selepas tidak mengesan sebarang kes positif koronavirus sesudah menjalani ujian minggu lalu, pemain-pemain Real Madrid tiba di Valdebebas untuk memulakan latihan buat kali pertama dalam tempoh dua bulan.
Madrid merupakan antara kelab yang pertama yang menjalankan kuarantin selepas pemain bola keranjang diuji positif dijangkiti koronavirus pada 12 Mac lalu, hari yang sama La Liga menggantungkan semua perlawanan kompetitif.
Tetapi selepas hampir sembilan minggu mengadakan latihan dari rumah, pemain-pemain Zinedine Zidane memulakan fasa pertama program latihan La Liga, yang merangkumi bekerja secara individu, dengan maksimum enam orang dalam satu padang pada satu masa.
“Dibahagikan kepada dua penggiliran dan pada padang yang berbeza-beza, pemain bola sepak Real Madrid mengadakan senaman individu dengan dan tanpa bola,” menurut kenyataan dari kelab, dengan beberapa orang jurugambar sempat mengambil foto aksi pemain.
Eden Hazard antara mereka yang dilihat membuat larian, pemain Belgium tersebut kembali selepas menjalani pembedahan pada bahagian kaki kanan di Amerika Syarikat pada 5 Mac lalu. – AFP





























