PARIS, 20 Jun – Pasukan Red Bull mengumumkan kelmarin bahawa pasukan itu tidak lagi bersama Renault dan akan menggunakan enjin Honda bermula musim depan selepas bersetuju perjanjian awal selama dua tahun.
Red Bull memeterai penjanjian bersama Honda Motor Co Ltd untuk menggunakan unit pengeluar dari Jepun untuk musim Formula Satu (F1) 2019 dan 2020,” menurutnya dalam kenyataan.
Ketua pasukan Red Bull, Christian Horner berkata: “Perjanjian bersama Honda itu memberikan petanda untuk permulaan fasa baharu yang menarik dalam usaha pasukan Aston Martin Red Bull Racing untuk bersaing, bukan sahaja untuk merangkul kemenangan Grand Prix tetapi untuk matlamat utama kami iaitu gelaran juara.
“Selepas melakukan beberapa pertimbangan dan penilaian, kami pasti bahawa kerjasama bersama Honda ini merupakan laluan yang betul buat pasukan. Kami tertarik dengan komitmen Honda di F1 dengan langkah yang berterusan sejak kebelakangan ini bersama pasukan Scuderia Toro Rosso dan dengan skop cita-cita mereka, sama seperti kami.”
Presiden Honda, Takahiro Hachigo menyambut baik perjanjian yang adil untuk semua pihak di mana menurutnya, ia akan meningkatkan peluang untuk merangkul beberapa gelaran.
“Dengan dua pasukan, ini bermakna kami boleh mengakses lebih banyak data seperti sebelumnya. Kami percaya kerjasama dengan Toro Rosso dan Red Bull Racing akan membolehkan kami untuk menghampiri matlamat kami iaitu memenangi perlumbaan dan kejuaraan, membentuk kerjasama yang kukuh.” – AFP