Pasukan RPK dominan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Pasukan polo air Rejimen Pasukan Khas (RPK) muncul juara selepas berjaya menewaskan pasukan Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) dengan keputusan 4-0 di Kejohanan Renang dan Polo Air Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) 2018/2019 di Kompleks Sukan, Pangkalan Tentera Udara Rimba petang tadi.

Sementara itu, Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) pula berjaya menduduki tempat ketiga setelah menewaskan Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB).

Manakala dalam Kejohanan Renang, Pasukan Renang RPK turut berjaya meraih kejuaraan dengan memperoleh sebanyak tujuh pingat emas, dua pingat perak dan satu pingat gangsa.

Pasukan renang TDDB pula mendapat tempat kedua dan pasukan renang TLDB mendapat tempat ketiga di kejohanan renang berkenaan.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh tetamu kehormat, Pemangku Pemerintah ABDB, Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Haji Muhammad.

Kejohanan Renang dan Polo Air ABDB 2018/2019 yang telah bermula sejak 11 Mac yang lalu telah disertai oleh enam pasukan yang terdiri daripada Kementerian Pertahanan, TDDB, TLDB, TUDB, Institut Latihan ABDB (IL ABDB) dan RPK.

Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi ketika menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang.