Pasukan SMB menang Anugerah Emas YIC Edisi Khas

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Team Sonar yang diwakili empat orang pelajar Sekolah Menengah Berakas (SMB) telah berjaya mengharumkan nama negara apabila memenangi Anugerah Emas dalam Cabaran Pencipta Muda (YIC) Edisi Khas 2021 anjuran Association of Science, Technology and Innovation (ASTI), Malaysia, baru-baru ini.

Pasukan berkenaan merangkumi Awang Mohd Syaukani bin Haji Hasnul Fikri, Awang Aiman Izzan bin Zakaria, Awang Mohd Aiman Aliuddin bin Hamidon dan Awangku Noor Wafiy bin Pengiran Noor Shamsi dengan guru pembimbing, Pengiran Abdul Raub bin Pengiran Haji Ghani itu mengetengahkan ciptaan inovatif dinamakan Blind Assist Sensory Suit (BASS).

Pertandingan yang berlangsung dari 2 Mac hingga 20 November lalu itu bertujuan untuk menggalakkan pelajar-pelajar sekolah menengah yang berumur di antara 13 hingga 17 tahun untuk bekerjasama secara berpasukan dalam mencari jalan penyelesaian yang inovatif kepada permasalahan semasa. Sebanyak 283 penyertaan dari tujuh buah negara telah berjaya disenarai pendek oleh pihak penganjur.

Tema YIC tahun ini ialah Invention to Address Issues Discussed in Sustainable Development Goals.