Oleh Mohamad Asyramisyanie
Gambar oleh Khairil Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Mac – Pasukan Virat Victorious dan Pasukan NH1 merangkul piala Kejohanan Brunei Negara Ku Hoki, kejohanan tersebut berlangsung di Kompleks Hoki Negara, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas hari ini.
Pasukan NH1 menang ke atas Pasukan NH2 dengan jaringan 0-1 di dalam pelawanan Bahagian Hoki Lelaki kejohanan itu, sementara di Bahagian Hoki Perempuan pula menyaksikan Pasukan Virat Victorious menang ke atas Pasukan NH dengan keputusan 1-0 di dalam perlawanan akhir. Sejurus selepas perlawanan anjuran Iman Syahiirah Event Management itu, Media Permata sempat menemu bual pengurus Pasukan NH, Aiman Faiqah Meraj yang menegaskan: “Bagi para pemain, saya sangat gembira dengan persembahan mereka semua hari ini dan, saya sangat gembira melihat kerjasama dan persefaham berpasukan yang ditunjukkan di samping semangat juang yang tinggi.
“Pasukan yang dilawan hari ini bukan sebuah pasukan yang baru, malah mereka sebuah pasukan yang berpengalaman dan saya akui permainan hari ini sangat sengit,” ujarnya lagi sejurus selepas perlawanan akhir.
Dalam Bahagian Hoki Lelaki, sebanyak lapan buah pasukan yang menyertai iaitu NH1, NH2, RBHC, Virat tm Saharra, Falcon, Destroyer A, Destroyer B dan Kbeewolf HT. Sementara tiga buah pasukan berentap di Bahagian Hoki Perempuan iaitu Virat Saharra, Virat Victorious dan Pasukan NH.
