Patrick Lai presiden baharu Rotary

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 9 JULAI – Kelab Rotary Belait telah melantik Patrick Lai sebagai presiden baharu kelab berkenaan bersama beberapa lagi lantikan pegawai baharu pada majlis pelantikan ke-54 dan majlis ulang tahun kelab berkenaan ke-53 yang diadakan di Restoran All Season, Pusat Membeli-Belah KBSentral, baru-baru ini.

Hadir menyaksikan majlis itu sebagai tetamu kehormat ialah Gabenor Rotary Antarabangsa Daerah 3310, Jeffrey Yong Teck Chin.

Turut hadir ialah bekas-bekas presiden Kelab Rotary, pengurus cawangan Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) di Kuala Belait dan tetamu-tetamu lainnya serta ahli-ahli Kelab Rotary Belait, Pasir Gudang, Kuching dan Bintulu.

Menurut bekas presiden Kelab Rotary Belait, Camille Chai semasa memberi ucapan pada majlis tersebut menerangkan bahawa kelab berkenaan sentiasa bergiat aktif dalam memberi bantuan kepada masyarakat terutamanya kepada warga emas serta penduduk berkeperluan khas.

Antara bantuan yang diberikan adalah seperti menyediakan tenaga solar kepada penduduk pendalaman, membantu pelajar kurang berkemampuan serta banyak lagi, jelasnya.

“Secara amnya, kelab kami telah bekerjasama dengan Kelab Rotary di negara-negara jiran, dan antara aktiviti yang kami ungkayahkan termasuk projek bersama untuk misi perubatan ke kawasan luar bandar di Sarawak, Anugerah Kepimpinan Pemuda Rotary atau RYLA untuk membantu mengembangkan lagi kemahiran sebagai pemimpin sambil menjalinkan hubungan dengan belia dari pelbagai negara lain,” tambahnya.

Majlis pelantikan tersebut turut diselajurkan dengan upacara sambutan ulang tahun kelab berkenaan ke-53 dengan acara memotong kek.

Acara memotong kek sempena upacara sambutan ulang tahun kelab berkenaan ke-53.
Camille Chai menyerahkan kalung pingat presiden kepada Patrick Lai.