KOTA KINABALU, 24 Jun – Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Junz Wong menasihatkan orang ramai untuk mengikuti prosedur Kuarantin Tumbuhan sedia ada sebelum membawa masuk sebarang tumbuhan atau produk tumbuhan yang dikawal selia ke Sabah.
Beliau berkata adalah sangat penting untuk mematuhi peraturan itu bagi mengelakkan produk tumbuhan yang dibawa dirampas, selain berhadapan denda.
“Pada 1990, koko telah menjadi tanaman berpotensi di Sabah dengan perladangan lebih 400,000 hektar, namun kini hanya tinggal kira-kira 5,500 hektar akibat serangan serangga perosak dan penyakit seperti Cocoa Pod Borer (CPB). CPB dipercayai datang dari negara jiran dan dibawa masuk ke Sabah melalui tumbuhan yang tidak melalui prosedur kuarantin.
“Oleh itu sebarang pergerakan tumbuhan atau produk tumbuhan harus mengikut prosedur kuarantin. Kita harus belajar daripada pengalaman lalu dan mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi industri pertanian kita serta kepelbagaian biodiversiti flora dan fauna,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata pengimportan atau pergerakan mana-mana tumbuhan, produk tumbuhan dan yang dikawal selia pertanian adalah dibenarkan, namun ia memerlukan Permit Import (IP) dari Jabatan Pertanian Sabah sebelum membawanya ke negeri ini.
“Prosedur ini adalah sama seperti di Semenanjung, Sarawak dan Labuan. Pihak Kuarantin Tumbuhan akan melakukan pemeriksaan yang diperlukan semasa ketibaan di pintu masuk. Oleh itu orang ramai perlu bekerjasama dan menghormati tugas Inspektor Kuarantin demi melindungi industri pertanian di Sabah,” tambahnya.
Sehubungan itu, Junz meminta orang ramai agar mendapatkan nasihat daripada jabatan berkaitan untuk sebarang maklumat yang tepat berhubung perkara berkaitan dan bukan daripada pihak ketiga bagi mengelakkan kekeliruan. – Bernama