Patuh SOP di LTAB, cegah COVID-19

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 SEPT – Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi memaklumkan kepada orang ramai dan penumpang-penumpang supaya sentiasa mematuhi semua peraturan, prosedur dan langkah-langkah pencegahan wabak COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.

Antara prosedur yang perlu dipatuhi di lapangan terbang itu adalah para penumpang yang akan berlepas dimestikan untuk menggunakan prosedur drop-off sahaja, orang ramai tidak dibenarkan mengambil penumpang semasa ketibaan, penumpang-penumpang hendaklah mempunyai aplikasi BruHealth dan mengimbas kod QR yang telah disediakan sebelum masuk ke Bangunan Terminal LTAB.

Penumpang-penumpang yang tidak mempunyai aplikasi BruHealth, hendaklah menunjukkan dokumentasi penerbangan yang sah dan sijil COVID-19 PCR Test yang negatif (jika perlu) sebelum masuk ke Bangunan Terminal LTAB dan mengisi butiran peribadi dalam buku yang disediakan.

Sementara bagi orang ramai yang tidak mempunyai aplikasi BruHealth adalah tidak dibenarkan masuk ke Bangunan Terminal LTAB.

Jabatan Penerbangan Awam turut mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih atas keprihatinan dan kerjasama orang ramai serta para penumpang dalam sama-sama membendung penularan wabak COVID-19.

Orang ramai perlu mematuhi semua peraturan, prosedur dan langkah-langkah pencegahan wabak COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei seperti yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan. – Gambar fail oleh Muiz Matdani