Patuhi arahan kerajaan

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Kementerian Kesihatan & PPDB

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar menegaskan agar orang ramai mematuhi segala arahan dan saranan yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan, setelah lapan lagi pelanggaran arahan dikesan semasa pemantauan larangan keluar rumah dari jam 8 malam hingga 4 pagi tadi.

“Hasil daripada pemantauan agensi-agensi penguatkuasaan yang dilakukan semalam semasa larangan keluar rumah dari jam 8 malam hingga 4 pagi tadi, lapan orang telah dikenakan denda kompaun yang mana enam daripadanya adalah pelanggaran arahan untuk berada di rumah,” ujarnya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato mengharapkan agar Negara Brunei Darussalam akan dapat menikmati hasil kerjasama semua pihak dari segenap lapisan masyarakat dalam menangani wabak COVID-19 ini.

Sementara itu, menurut kenyataan daripada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), kesemua lapan pelanggaran akta tersebut didapati di Daerah Brunei dan Muara dengan tindakan denda kompaun telah dikenakan.

Terdahulu, PPDB menjelaskan komitmen kerajaan kekal jitu dalam memastikan kesinambungan dan kemapanan negara dalam menghadapi krisis gelombang kedua COVID-19 ditangani dengan penuh dedikasi dan berkesan.

“Inisiatif yang sedang dirancang dan yang telah terlaksana menggambarkan tindak balas kerajaan yang amat responsif dalam menangani isi-isu berkaitan wabak pandemik ini demi kepentingan penduduk dan rakyat serta kelestarian negara.”

PPDB juga menegaskan bahawa segala perubahan tersebut bermula dengan diri sendiri dan ianya merupakan langkah pertama dalam segala kejayaan termasuklah mencapai keberhasilan memerangi wabak COVID-19.

“Sikap tidak peduli dan pentingkan diri sendiri akan menimbulkan implikasi negatif dan kesan yang mendalam terhadap usaha pihak kerajaan dalam memutuskan rangkaian wabak serta proses pemulihan negara,” jelas kenyataan PPDB itu lagi.

Anggota PPDB ketika menjalankan pemantauan Operasi Pulih, kelmarin.
Anggota polis menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan semasa Operasi Pulih kelmarin.