Patuhi arahan kuarantin di rumah – Dr Christina

KOTA KINABALU, 3 MEI – Pelajar Sabah yang menjalani kuarantin di rumah masing-masing selepas pulang dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak semalam, harus mematuhi arahan tersebut secara ketat bagi mencegah penularan virus COVID-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Christina Rundi, berkata langkah itu penting bagi melindungi ahli keluarga mereka kerana dikhuatiri mereka mungkin menjadi pembawa virus berkenaan.

Beliau berkata sebelum ini cadangan adalah menempatkan pelajar berkenaan di pusat kuarantin selama 14 hari serta pengambilan sampel dengan mengambil kira pergerakan pelajar dalam jumlah yang besar, namun mendapat banyak kritikan.

“Keputusan telah dibuat untuk membenarkan pelajar terlibat menjalani kuarantin di rumah selepas sampel rongga hidung/tekak diambil dan mereka perlu mematuhi arahan kuarantin berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, kerjasama daripada semua pelajar berkenaan penting dalam usaha untuk membantu pihak kesihatan mengekang penularan COVID-19. – Bernama

Sebahagian daripada 122 pelajar-pelajar Yayasan Sabah di Semenanjung Malaysia dan Sarawak tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di sini kelmarin. – Bernama