Patuhi arahan pencegahan COVID-19 di LTAB

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JUN – Bagi mengawal penyebaran COVID-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB), orang ramai diingatkan untuk sentiasa mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan iaitu untuk terus melaksanakan tanggungjawab membudayakan langkah-langkah pencegahan termasuk mengamalkan penjarakan fizikal dan mematuhi larangan perkumpulan ramai yang ada pada masa ini, yang telah dikeluarkan di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerbangan Awam, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, di sini, bagi mengelakkan perkumpulan ramai, penumpang-penumpang yang berangkat belayar melalui LTAB adalah dinasihatkan dan digalakkan untuk menggunakan kaedah drop-off atau sekurang-kurangnya dihantar oleh tidak melebihi dua orang sahaja.

Manakala itu, bagi penumpang-penumpang yang tiba, orang ramai adalah tidak digalakkan untuk menjemput mereka oleh sebab penumpang-penumpang berkenaan akan terus menjalani tempoh pengasingan.

Jabatan Penerbangan Awam juga telah melaksanakan beberapa inisiatif dalam menangani penularan wabak COVID-19 melalui usaha-usaha seperti pemeriksaan suhu badan mandatori di pintu-pintu masuk utama yang dikhaskan di bangunan terminal lapangan terbang bermula pada 20 Jun dan menyediakan imbasan kod QR melalui aplikasi BruHealth di pintu-pintu masuk utama di Dewan Bertolak dan Ketibaan.

Para pengguna lapangan terbang adalah dikehendaki untuk terlebih dahulu mengemaskinikan status kesihatan masing-masing melalui aplikasi berkenaan dan memahami serta mematuhi pensyaratan yang diperuntukkan dengannya sebelum masuk dan menggunakan perkhidmatan-perkhidmatan dan kemudahan-kemudahan di LTAB.

Penandaan penjarakan fi-zikal dengan jarak satu meter dalam setiap barisan juga dilaksanakan di kesemua kaunter seperti kaunter daftar masuk, kaunter imigresen, kastam, pemeriksaan keselamatan penumpang termasuk juga premis-premis perniagaan.

Dalam hubungan itu, kerjasama orang ramai dan para pengguna lapangan terbang adalah sangat-sangat diharapkan dalam sama-sama mencegah berlakunya penularan wabak berkenaan.