Patuhi garis pandu kelas Al-Quran, muqaddam

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Berikutan pelaksanaan tahap keempat pembukaan semula masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) memaklumkan bahawa kelas Al-Quran dan muqaddam pada setiap Jumaat akan berjalan se-perti biasa bermula 7 Ogos ini.

Sehubungan dengan itu, ibu bapa dan penjaga pada murid diseru supaya mematuhi garis pandu pelaksanaan kelas Al-Quran dan muqaddam di masjid, surau dan balai ibadat seluruh negara yang ditetapkan oleh Jabatan Hal Ehwal Masjid, KHEU.

Garis panduan antara lain menyatakan bahawa guru penghubung dan guru-guru dikehendaki hadir sebelum pukul 8 pagi bagi memantau kehadiran para murid, digalakkan untuk berwuduk dari rumah, membuat pemeriksaan suhu badan, digalakkan untuk memakai penutup mulut dan hidung, sentiasa menjaga kebersihan dengan kerap mencuci tangan dengan menggunakan sabun atau gel pensanitasi, elakkan daripada bersalam-salaman dan hendaklah segara bersurai setelah semua murid balik.

Manakala itu, bagi murid-murid, kelas akan berjalan dari pukul 8 pagi hingga 10 pagi, digalakkan untuk berwuduk dari rumah, para ibu bapa atau penjaga hendaklah menghantar dan mengambil murid-murid di luar pintu masjid sahaja, membuat pemeriksaan suhu badan, mencatat kehadiran dalam buku daftar yang disediakan, digalakkan untuk memakai penutup mulut dan hidung, sentiasa menjaga kebersihan dan kerap mencuci tangan menggunakan sabun atau gel pensanitasi, elakkan daripada bersalam-salaman dan hendaklah segara bersurai setelah kelas berakhir.