Patuhi garis panduan bagi premis makanan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OGOS – Para pengusaha premis makanan termasuk restoran, kedai makan, kedai minum, kafe, medan selera (food court), gerai makan dan seumpamanya serta para pengunjung premis-premis berkenaan dikehendaki untuk mematuhi garis panduan pelaksanaan langkah-langkah pengawalan yang diperketatkan semula di Negara Brunei Darussalam bagi perkhidmatan penyajian makanan di premis-premis makanan.

Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) menyarankan semua pengusaha premis makanan dan pengunjung ke premis berkenaan untuk sentiasa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.

Pengusaha premis makanan dikehendaki untuk menyediakan kod QR BruHealth yang khusus bagi premis mereka dan seterusnya mencetak kod QR berkenaan dalam jumlah yang mencukupi dan dilekatkan di beberapa kawasan yang sesuai seperti kawasan pintu masuk premis untuk diimbas oleh pelanggan.

Bagi memudahkan pengunjung yang tidak mempunyai kemudahan untuk mengimbas kod QR, pengurus premis boleh menyediakan buku daftar bagi mencatat butiran peribadi pengunjung.

Premis makanan tidak dibenarkan untuk menyajikan makanan secara dine-in di premis-premis dan hanya dibenarkan menyediakan makanan untuk dibawa pulang dan penghantaran sahaja.

Pemeriksaan suhu badan hendaklah dilakukan sebelum memasuki premis makanan.

Di samping itu, premis makanan hendaklah menyediakan pelan tindakan bagi memastikan pelaksanaan penjarakan fizikal antaranya tidak membenarkan pengunjung yang tidak menggunakan pelitup muka untuk memasuki premis makanan, mengehadkan kemasukan para pengunjung ke dalam premis makanan dalam satu-satu masa serta menyediakan kemudahan penghantaran dan pengambilan.

Pekerja yang mengendalikan dan menyediakan makanan pula dikehendaki untuk sentiasa memakai pelitup muka yang bersesuaian dengan tugas dan pekerja yang tidak sihat atau mempunyai kod warna aplikasi BruHealth selain warna hijau atau kuning tidak dibenarkan untuk hadir bekerja.

Mana-mana pengusaha premis makanan yang didapati tidak mematuhi syarat-syarat berkenaan, boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 serta pengusaha-pengusaha premis makanan dipohonkan untuk memberikan kerjasama bagi mematuhi arahan-arahan yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa.