Patuhi garis panduan penyajian makanan secara bufet

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Berikutan dengan pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial yang diumumkan pada sidang media sebelum ini, pelaksanaan pelan de-escalation bagi perkhidmatan penyajian makanan secara bufet di premis-premis makanan telah bermula hari ini dengan semua premis terus diingatkan untuk mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Tinjauan Media Permata ke beberapa buah premis makanan di negara ini rata-ratanya mengungkapkan rasa syukur dan menyambut baik ter-hadap tambahan pengurangan langkah penjarakan sosial ini, sekali gus dapat memberikan kepuasan kepada para pelanggan mereka. Salah sebuah restoran yang menyajikan makanan tradisi Brunei iaitu hidangan ambuyat secara bufet di ibu negara berkata mereka mula menyediakan penyajian makanan secara bufet kepada orang ramai dengan sedikit perubahan berbanding sebelum ini.

“Setiap pelanggan akan disajikan dengan makanan yang dipilih, namun konsep makan tanpa terhad masih dikekalkan seperti biasa,” jelasnya.

Dalam pada itu, mereka juga menyarankan kepada para pelanggan untuk sentiasa mengamalkan penjarakan sosial bagi memben-dung penularan wabak COVID-19 dan mengimbas kod QR BruHealth sebelum memasuki dan keluar dari restoran berkenaan.

Menurut salah seorang pelanggan ketika ditemui, “Harus diingat segala perancangan dan usaha bagi membendung penularan wabak ini hanya mampu dijayakan jika semua pihak terutamanya orang awam mematuhi segala peraturan dan garis pandu yang telah ditetapkan.”

Salah seorang pekerja mengenakan penutup mulut dan hidung lutsinar ketika menyajikan makanan secara bufet kepada salah seorang pelanggan.
Salah seorang chef dari Hotel Antara-bangsa Rizqun semasa ditemu bual oleh media.

Walau bagaimanapun, terdapat juga premis-premis makanan di negara ini yang masih belum bersedia untuk menyediakan perkhidmatan ini kerana mengambil faktor keselamatan dan persiapan dalam penyediaan makanan secara bufet.

Menurut salah seorang chef restoran di Hotel Antarabangsa Rizqun, mereka masih memikirkan keselamatan dan keselesaan para pelanggan apabila perkhidmatan dibukakan nanti dengan mengambil kira pengamalan penjarakan sosial yang lebih teratur.

“Promosi-promosi bufet di restoran kami ketika ini memberikan keutamaan kepada acara-acara persendirian sahaja, dan masih belum menyediakan perkhidmatan penyajian makanan secara terbuka untuk orang ramai.

Namun begitu, pihak pengurusan restoran berkenaan sedang giat merancang mengadakan promosi-promosi bufet pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi segala peraturan dan arahan yang berkaitan dengan pengurangan langkah-langkah penjarakan sosial tersebut.

Ini termasuklah bagi pekerja-pekerja restoran adalah dinasihatkan untuk sentiasa memakai penutup mulut dan hidung setiap kali memasak atau menyajikan makanan.

Kementerian Kesihatan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang tidak mematuhi arahan-arahan yang telah dikeluarkan.