Patuhi garis panduan perkumpulan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – Dengan pengurangan langkah-langkah pengawalan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam bagi perkumpulan ramai iaitu Tahap Kesediaan Operasi 2 bermula 27 Julai, perkumpulan ramai dibenarkan kepada keramaian tidak melebihi 100 orang.

Kemas kini garis panduan Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa perkumpulan ramai merujuk kepada acara yang dianjurkan secara terancang mahupun spontan serta mempunyai jumlah individu yang cukup untuk mengendalikan perancangan dan memberikan tindak balas terhadap sumber tenaga komuniti, kawasan atau negara yang menganjurkan acara berkenaan.

Menurut garis panduan berkenaan, perkumpulan ramai yang dibenarkan adalah terhad kepada keramaian tidak melebihi 100 orang sahaja untuk setiap majlis atau acara dan penganjur majlis atau acara adalah tidak dibenarkan untuk menjemput para hadirin hadir secara bergilir.

Majlis-majlis yang dibenarkan ialah acara atau majlis peribadi, keagamaan, perkahwinan, kekeluargaan dan amal atau sukarelawan yang diadakan di kediaman persendirian atau premis-premis khusus seperti dewan bankuet, restoran dan tempat-tempat acara lain.

Majlis yang dibenarkan juga ialah acara keramaian di tempat kerja termasuk mesyuarat, kursus, latihan, persidangan, temu duga pekerjaan termasuk peperiksaan bertulis dan acara sosial.

Penganjur bagi mana-mana acara rekreasi hendaklah memastikan garis panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dipatuhi dan acara-acara yang dibenarkan hendaklah mematuhi had keramaian orang yang hadir.

Walau bagaimanapun, tegas garis panduan berkenaan, kehadiran tetamu secara bergilir-gilir adalah tidak dibenarkan.

Garis panduan berkenaan turut menyatakan bahawa acara atau majlis yang dibenarkan hendaklah diringkaskan supaya tidak memakan masa yang lama di mana seboleh-bolehnya dihadkan masa acara kepada dua jam sahaja pada satu-satu masa.

Bagi acara-acara yang diadakan di kediaman peribadi, tuan rumah dikehendaki menyediakan senarai semua jemputan yang hadir untuk memudahkan pengesanan kontak jika diperlukan seperti dengan menyediakan buku daftar atau buku tetamu (guest book).

Bagi acara-acara yang diadakan di premis-premis khusus, pihak pengurusan premis dikehendaki untuk mendapatkan kod QR BruHealth yang khusus bagi premis masing-masing dan seterusnya mencetak kod QR berkenaan serta diletakkan di kawasan pintu masuk premis untuk diimbas oleh pengunjung sebelum masuk dan sejurus sebelum meninggalkan premis.

Garis panduan turut menggariskan syarat-syarat umum bagi penganjur majlis yang dikehendaki untuk memastikan para hadirin mengamalkan penjarakan sosial seperti letakkan kerusi pada jarak sekurang-kurangnya 1 meter sepanjang acara dijalankan, memastikan persekitaran sentiasa terjaga seperti dalam penyediaan kemudahan bilik air bersih dan mencukupi, tempat membasuh tangan berserta sabun, tuala pakai buang atau tisu dan tongtong sampah yang bertutup.

Jika boleh, sediakan pensanitasi tangan, memastikan tempat yang digunakan mempunyai pengalih-udaraan atau ventilasi yang baik dan juga disarankan untuk menggunakan kipas dan membuka tingkap jika perlu, premis hendaklah dibersihkan dan disanitasi sebelum dan selepas acara diadakan terutamanya permukaan yang sering disentuh seperti meja, kerusi, kaunter, handrails dan tombol pintu serta membersihkan permukaan dengan mengelapnya dengan air sabun dan dibilas dengan air bersih.

Apabila telah kering, disinfeksi permukaan dengan mengelapnya menggunakan kain yang direndam dengan bahan peluntur yang telah dicairkan ke dalam satu bahagian peluntur dengan 49 bahagian air, kemudian biarkan kering atau bilas dengan air yang bersih.

Disinfeksi juga boleh dilakukan dengan mengelap permukaan dengan menggunakan alkohol (70 peratus) impregnated wipe dan seterusnya dibiarkan sehingga kering.

Manakala itu, para jemputan termasuk kakitangan atau ahli jawatankuasa dinasihatkan untuk menjaga kebersihan diri pada setiap masa seperti mencuci tangan dengan kerap atau menggunakan pensanitasi tangan, mengurangkan sentuhan atau kontak fizikal iaitu mengelakkan bersalaman dan berpeluk-pelukan, mengamalkan tanggungjawab sosial termasuk etika batuk dan bersin yang betul pada setiap masa, penggunaan penutup hidung dan mulut adalah digalakkan termasuk penutup hidung dan mulut yang diperbuat daripada kain dengan syarat ia hendaklah dicuci setiap kali selepas dipakai serta sesiapa yang mempunyai tanda-tanda jangkitan atau mereka yang berisiko tinggi mendapat jangkitan yang teruk adalah dinasihatkan untuk tidak menghadiri acara-acara yang diadakan sehingga telah sembuh.

Penganjur acara boleh menyediakan hidangan jamuan secara disajikan (serving) atau menggunakan set dome. Walau bagaimanapun, hidangan secara bufet boleh dipertimbangkan jika majlis diadakan di kediaman peribadi atau majlis diadakan secara tertutup di premis-premis yang khusus.

Jika majlis diadakan di restoran, hidangan bufet tidak dibenarkan untuk disediakan bagi pelanggan restoran yang lain.

Garis panduan itu juga menekankan bahawa sesiapa yang didapati melanggar atau ingkar arahan yang telah dikeluarkan ini maka ianya adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit (Penggal 204) yang mana jika didapati bersalah boleh membawa denda sehingga $10,000 atau penjara sehingga tempoh enam bulan atau kedua-duanya sekali.