Patuhi kuarantin bagi mengawal penularan

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Proses pengesanan kontak rapat akan dilakukan segera setelah kes positif dikenal pasti bagi memutuskan rangkaian jangkitan (transmisi).
Oleh itu, Perintah Kuarantin Digital yang diperkenalkan dalam aplikasi BruHealth itu pada dasarnya turut membantu pengesan kontak mengenal pasti dan memberitahu individu berkenaan dengan segera agar mereka dapat menjalani kuarantin kendiri dengan serta-merta.

Perkara itu dikongsikan oleh Pegawai Perubatan Kanan di Bahagian Kawalan Penyakit, Dr Mohammad Fathi bin Dato Paduka Haji Alikhan (gambar) yang juga salah seorang daripada 60 pengesan kontak semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, hari ini.

Menurut Dr Mohammad Fathi lagi, setelah mereka mengenal pasti kes positif, individu berkenaan akan disoal siasat bagi mengenal pasti kawasan-kawasan yang mereka kunjungi, tempat berisiko dan kawasan tertutup dan yang terdapat perhimpunan besar.

“Jadi apa yang kami lakukan sebagai pengesan kontak ialah sebenarnya kami perlu menghubungi kesemua orang berkontak rapat dengan mereka.

“Setelah itu, kami meminta mereka untuk menjalani kuarantin kendiri, oleh itu, jangkitan dapat dikawal sebelum ia menular lebih jauh,” ujarnya.

Menurutnya lagi, mereka yang telah diuji positif akan dimasukkan ke Pusat Pengasingan Kebangsaan, jika negatif mereka akan dikehendaki untuk menjalani kuarantin selama 14 hari lagi, bagi memantau tempoh inkubasi virus tersebut.

“Dalam tempoh kuarantin itu, anda mungkin boleh saja akan mengalami gejalanya dalam beberapa hari kemudian. Itulah sebabnya pada aplikasi BruHealth mengatakan anda akan mendapat notifikasi pada hari ke-11 untuk mengingatkan mengenai swab hari ke-12 anda.”

Katanya lagi, meskipun swab pertama negatif, swab hari ke-12 kemungkinan boleh jadi positif, oleh itu, pihak mereka akan memantau individu terbabit selama 14 hari.

“Sebab itu, Perintah Kuarantin Digital berfungsi untuk memberitahu anda dengan segera menerusi telefon, boleh terus ke pusat swab dan menjalani kuarantin diri selepas itu,” jelasnya.

Aplikasi itu juga, katanya, membolehkan pihak mereka melakukan pemantauan ke atas kesejahteraan individu berkenaan termasuk menyediakan makanan yang dihantar ke rumah masing-masing jika seluruh keluarga menjalani kuarantin disebabkan mereka tidak boleh keluar dari rumah.