Patuhi langkah kawalan virus di kaunter JPD

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Selaras dengan permulaan Fasa Peralihan, kaunter perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) secara fizikal di seluruh negara akan dibuka bermula 20 November ini.

Makluman mengenai pembukaan kaunter JPD itu telah dijelaskan semasa sidang media yang berlangsung di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, hari ini, yang dihadiri oleh Pengarah Pengangkutan Darat, Haji Rozaly bin Haji Saison; Pengarah Pusat Kebangsaan E-Kerajaan, Dayang Mazriyani binti Haji Abdul Ghani dan Pemangku Ketua Pos Agung, Haji Aminuddin bin Haji Taib.

Turut ditekankan, orang ramai yang hendak berurusan dengan kaunter-kaunter perkhidmatan disarankan untuk mengambil perhatian dan mematuhi langkah-langkah kawalan COVID-19 bagi Fasa Peralihan yang berkuatkuasa pada masa ini seperti hanya individu yang lengkap dua dos vaksin dibenarkan hadir ke premis-premis berkenaan.

Selain itu, bukti pengesahan vaksinasi hendaklah ditunjukkan, semua individu dikehendaki memakai pelitup muka, mengimbas kod QR premis dengan menggunakan aplikasi BruHealth, hanya individu yang mempunyai kod BruHealth berwarna hijau dan kuning sahaja dibenarkan masuk.

Di samping itu, kad pengenalan hendaklah ditunjukkan sebagai pengesahan, individu yang mengalami simptom dan berisiko tinggi tidak dibenarkan masuk, mempraktikkan penjarakan sosial pada setiap masa, mengelakkan sebarang kontak fizikal, pemeriksaan suhu badan hendaklah dilakukan dan menggunakan sanitasi tangan sebelum memasuki premis dan memastikan garis panduan Kementerian Kesihatan sentiasa dipatuhi.

Haji Rozaly, Dayang Mazriyani dan Haji Aminuddin semasa sidang media di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Orang ramai juga diseru untuk terus menggunakan perkhidmatan bukan kaunter yang ada seperti perkhidmatan dalam talian (online) dan TD123 dan pembayaran tanpa tunai (cashless) bagi sama-sama memainkan peranan masing-masing dalam langkah-langkah pengawalan jangkitan COVID-19.

Kementerian berkenaan memaklumkan bahawa waktu operasi untuk semua cawangan JPD adalah dari pukul 8:15 pagi hingga 12:30 tengah hari pada Isnin hingga Khamis dan Sabtu kecuali hari kelepasan awam, manakala itu, pos kawalan pula dibuka setiap hari dari pukul 6 pagi hingga 3 petang termasuk hari kelepasan awam.

Cawangan di Ibu Pejabat JPD dan Kompleks Litar Memandu Kampung Sungai Akar, kaedah perkhidmatan kaunter dibuka secara tempahan melalui aplikasi Que-Up, manakala cawangan JPD Tutong, Kuala Belait dan Temburong dibuka secara walk-in.

Bagi pendaftaran kenderaan baharu dan terpakai luar negara serta perkhidmatan tukar milik yang dikendalikan oleh syarikat-syarikat penjual kenderaan terpakai dalam negeri adalah masih seperti yang berjalan pada masa ini iaitu melalui perjanjian atau berjadual.

Bagi perkhidmatan yang tidak melalui kaunter, cawangan International Driving Permit (IDP) dan pengesahan Lesen Memandu Pelekat Kenderaan Daftar Luar Negara (PKDLN) adalah Melalui emel dan cawangan bagi pelekat ken-deraan daftar luar negara (PKDLN) hanya secara dalam talian melalui TransportBn dan gov.bn.

Bagi perkhidmatan tukar milik atau pinjaman dan pengubahsuaian kenderaan, buku atau kad pendaftaran kenderaan serta dokumen berkenaan akan dihantar melalui EMS dengan caj pembayaran $3 dalam daerah dan $4 luar daerah.