Patuhi larangan perkumpulan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 APRIL – Meskipun negara mencatatkan sifar kes jangkitan COVID-19 dalam masa empat hari berturut-turut, larangan perkumpulan masih lagi dikuatkuasakan di bawah perintah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204, dalam usaha mengelak penularan penyakit itu.

Perkara itu diulangi dan ditegaskan semula oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika menjawab soalan mengenai penangkapan kira-kira 20 orang yang mengadakan perkumpulan di sebuah hotel yang turut digunakan untuk kuarantin, pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya, perkumpulan itu bukan sahaja salah kerana melanggar akta, malahan dibuat dalam bilik hotel yang sempit serta melibatkan minuman keras yang salah di sisi undang-undang. Sehubungan itu, beliau menyarankan orang ramai terus mematuhi saranan Kementerian Kesihatan menghindari perkumpulan seumpama itu.

Manakala mengenai beberapa orang yang dikatakan melarikan diri dan memasuki bilik orang dikuarantin, beliau menjelaskan bahawa mereka tidak perlu diuji dan dikuarantin memandangkan pesakit tersebut tidak positif COVID-19 dan hanya menjalani pengasingan.

Bagi persoalan mengenai jumlah warga asing yang sudah pun diuji di negara ini, Yang Berhormat Dato mengatakan sejumlah 98 pekerja asing sudah pun diuji, manakala yang lainnya turut diuji secara berperingkat. Kementerian Kesihatan juga akan terus memantau keadaan pekerja asing di sini dan menyeru majikan memberikan kerjasama kepada kementerian dan Jabatan Buruh.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika berkongsi statistik terkini jangkitan COVID-19 di negara ini.

Dalam pada itu, ketika berkongsi mengenai statistik jangkitan terkini, Yang Berhormat Dato menjelaskan tidak ada kes baharu dicatatkan hari ini, manakala enam kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan sudah sembuh dan dibenarkan pulang, membawa jumlah yang sembuh kepada 91 orang.

Menurutnya lagi, terdapat 43 kes yang masih dirawat dan dua yang masih kritikal terus memerlukan bantuan mesin ECMO manakala selebihnya dalam keadaan yang baik.

“Pada hari ini juga, jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan tempoh kuarantin mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 ialah sebanyak 2,281 orang dan hanya 94 orang sahaja yang masih menjalani kuarantin,” jelas Yang Berhormat Dato. “Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 203 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 8,648 ujian,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru agar orang ramai terus melaksanakan tanggungjawab sosial masing-masing dan membudayakan langkah-langkah pencegahan, khususnya dengan melakukan amalan kebersihan diri dan persekitaran pada setiap masa.

“Orang ramai adalah juga sekali lagi diingatkan untuk sentiasa mengamalkan penjarakkan sosial dan mematuhi larangan perkumpulan pada masa sekarang, mengikut perintah Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204,” tegasnya.

Menurutnya, kesemua langkah-langkah yang sedang dilaksanakan adalah semata-mata untuk memastikan wabak COVID-19 dapat terus dikawal di samping untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk di negara ini.

“Kita semua mahukan keadaan pulih seperti biasa dengan secepat mungkin namun ia akan sukar dicapai tanpa adanya kerjasama yang padu dari semua pihak, dari pelbagai lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang atau umur. Negara kita masih berada di bawah ancaman kemasukan virus ini dari luar negara,” jelasnya.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 (pada bila-bila masa) atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.