Patuhi peraturan di pusat pengasingan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 SEPT – Mereka yang sedang berada di pusat-pusat pengasingan sekali lagi dinasihatkan untuk mematuhi semua arahan dan peraturan termasuk dalam tatacara pengasingan serta menghormati peraturan berkaitan penyusunan dan pemakaian harta benda kerajaan termasuk perabot yang disediakan di pusat-pusat berkenaan.

“Peraturan yang telah ditetapkan adalah bagi memastikan operasi pemantauan dan rawatan boleh dijalankan dengan sebaiknya, di samping untuk memastikan keselesaan dan privasi pesakit-pesakit semasa berada dalam pengasingan.”

Perkara itu ditekankan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa sidang media yang diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Terdahulu, Yang Berhormat Dato berkata bahawa sebagaimana yang telah dinyatakan dalam sidang media baru-baru ini, kerjasama yang diberikan oleh kes-kes positif dan mereka yang menjalani perintah kuarantin adalah sangat-sangat dihargai dalam memberikan sokongan kepada usaha kerajaan dalam mengawal penularan wabak COVID-19.

Kebanyakan kes didapati mematuhi arahan untuk mengasingkan diri di pusat-pusat pengasingan yang disediakan dan juga di rumah masing-masing. Bagi mereka yang dibenarkan menjalani pengasingan diri di rumah, Yang Berhormat Dato memohon kerjasama mereka untuk sama-sama menghormati petugas yang membuat penghantaran makanan ke rumah-rumah.

“Syukurilah usaha mereka yang bertungkus-lumus membantu rakyat dan penduduk di negara ini menghadapi wabak COVID-19 yang sedang terjadi sekarang,” tegas Yang Berhormat Dato.

Dengan peningkatan kes pada hari ini dan bertambahnya kluster yang sedia ada serta dalam membantu usaha kerajaan mengurangkan kadar jangkitan, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengingatkan orang ramai sekali lagi untuk tidak keluar rumah tanpa sebarang tujuan yang penting.

“Orang ramai dinasihatkan untuk hanya keluar rumah jika perlu sahaja, mengelakkan daripada pergi ke tempat-tempat yang sesak dan dilarang melawat sanak saudara dan rakan-rakan,” tegasnya lagi.